EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (depan, tengah) bergambar bersama usahawan sempena perasmian Program Pemecut Selangor (SAP) kohort kelima di Pusat Digital Kreatif Selangor (SDCC) i-City, Shah Alam pada 30 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

30 syarikat pemula sertai Program Pemecut Selangor tingkat prestasi niaga

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak 30 syarikat pemula dipilih menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) kohort kelima dengan menjalani latihan bermula hari ini hingga 9 September.

Pemilihan syarikat dibuat mengikut lima bidang utama meliputi teknologi kesihatan dan kewangan, bandar pintar, teknologi hijau dan teknologi pertanian, maklum EXCO industri dan perdagangan.

“Mereka yang dipilih akan melalui latihan bimbingan selama 10 minggu bawah kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec),” kata Dato’ Teng Chang Khim.

“Daripada situ kita akan menilai dan memilih 10 syarikat pemula terbaik untuk menerima suntikan modal daripada rakan strategik bagi meningkatkan lagi perniagaan mereka.”

Bercakap selepas merasmikan program berkenaan di i-City di sini hari ini, beliau menambah 30 syarikat pemula berkenaan akan mendapat akses faedah kredit Amazon Web Services bernilai USD5,000 (RM22,027).

Selain itu, jelasnya, mereka juga diberikan ruang kerja percuma selama enam bulan di Pusat Digital Kreatif Selangor (SDCC) dan peluang kerjasama dengan pemain industri.

“10 syarikat pemula terbaik yang terpilih ke peringkat akhir pula akan membuat pembentangan kepada pelabur dan juri yang dijadual berlangsung pada 10 September,” katanya.

Sebanyak 120 syarikat tunas perintis berjaya dihasilkan sejak 2018 dengan kira-kira 34 peratus alumni berjaya mengumpul dana dalam meningkatkan prestasi perniagaan mereka.


Pengarang :