Peserta perlu mendaftar sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring DUN Sungai Ramal di Dewan Komuniti Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada 18 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

300 penduduk sertai pemeriksaan kesihatan Selangor Saring DUN Sungai Ramal

BANGI, 18 JUN : Kira-kira 300 peserta menyertai program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal yang diadakan di Dewan Komuniti Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Pegawai Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal berkata program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu mendapat sambutan menggalakkan daripada individu pelbagai peringkat usia.

“Bukan hanya warga emas tetapi golongan muda juga tidak melepaskan peluang untuk melakukan saringan bagi mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

“Malah, tidak kurang juga yang memuji dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” kata Abdul Rahman Ahmad Munawar ketika ditemui Selangorkini.

Beliau berkata rakyat Selangor khususnya perlu mengambil peluang menjalani pemeriksaan itu kerana ia memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi jika dilakukan di tempat lain.

“Saya difahamkan bagi setiap peserta Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM600 untuk menjalani semua proses saringan hari ini. Justeru, ambilah peluang untuk lakukan pemeriksaan kerana ia percuma,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Minggu ini program saringan kesihatan secara percuma diadakan di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu hari ini di DUN Dengkil dan Sungai Ramal manakala esok di DUN Sungai Pelek, Pandan Indah serta Teratai.


Pengarang :