Air berwarna putih seakan-akan klorin dikesan di permukaan air Sungai Langat jam 3.30 petang pada 10 Jun 2022. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tindakan pantas LUAS berjaya kawal pencemaran di Sungai Langat

SHAH ALAM, 10 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak pantas mengawal pencemaran yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air di Sungai Langat petang tadi.

EXCO alam sekitar berkata LUAS menerima maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung insiden air berwarna putih seakan-akan klorin pada jam 3.30 petang.

Jelas Hee Loy Sian, siasatan mendapati punca insiden disebabkan pelepasan efluen daripada kilang yang melepaskan aliran air putih ke sungai tanpa melalui titik pelepasan ditetapkan.

Keadaan air Sungai Langat yang dikesan berpotensi menyebabkan pencemaran. Foto Facebook LUAS

“LUAS mengaktifkan kod kuning mengikut prosedur manual pencemaran sumber air melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar.

“Tiga sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut. Selain itu kilang terbabit sedang menjalankan proses pembersihan dan menghentikan segera pelepasan efluen,” katanya menerusi kenyataan.

Loy Sian turut memaklumkan, tindakan pantas berjaya mengelakkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2;LRA Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air di Selangor terpelihara.

“LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM 1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun,” katanya.


Pengarang :