EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

60 peratus barah prostat dikesan lewat, EXCO saran lelaki jalani saringan

SHAH ALAM, 9 JUN: Golongan lelaki di negeri ini disaran melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan barah prostat melalui program Selangor Saring.

EXCO kesihatan awam berkata ia berikutan penyakit itu merupakan ketiga tertinggi dalam kalangan lelaki di negara ini dengan 60 peratus dikesan lewat pada tahap tiga dan empat.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan keadaan itu berlaku ekoran pertumbuhan dan pembahagian sel prostat yang tidak terkawal.

“Saya ingin mengajak anda semua untuk hadir membuat saringan awal secara percuma di bawah program ini,” katanya di Facebook.

Beliau turut memaklumkan individu boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Dengan Selamat (SELangkah) bagi menjalani pemeriksaan tersebut.

“Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi Selangkah,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Seramai 3,215 individu sudah menjalani saringan kesihatan percuma sejak dianjurkan pada 22 Mei lalu.

Program seterusnya dijadual berlangsung hujung minggu ini di tiga kawasan Parlimen iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor dari jam 9 pagi hingga 5 petang.


Pengarang :