Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan replika kunci Rumah Idaman ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

78,182 unit Rumah Idaman dibina penuhi keperluan rakyat

SHAH ALAM, 22 JUN: Sebanyak 31 projek Rumah Idaman diluluskan Kerajaan Negeri dengan sasaran 78,182 unit rumah bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki kediaman pertama.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata setakat ini tiga projek telah dibangunkan dengan reka bentuk terkini dan berkualiti.

“Di Selangor kita tak nak bezakan rumah ini rumah kos tinggi, ini rumah kos rendah sebab itu Rumah Idaman ini reka bentuknya dihasilkan untuk tidak nampak perbezaan itu,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara Rumah Idaman: Mampu Milik dan Selesa yang disiarkan secara langsung di Media Selangor, malam tadi.

Rodziah berkata jumlah projek yang banyak itu susulan permintaan terutama dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah berikutan jumlah penduduk Selangor yang kian meningkat.

“Setiap 100,000 yang masuk ke Selangor 90 peratus memilih untuk tinggal di negeri ini. Ini cabaran besar buat Kerajaan Negeri untuk memberi keselesaan kepada rakyat, sedia perumahan kepada rakyat terutama rumah dengan harga mampu milik,” katanya.

Sementara itu ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad berkata Rumah Idaman menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemiliknya walaupun harga yang ditawarkan RM250,000.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata dengan keluasan 1,000 kaki persegi di lokasi strategik ia dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya sekolah, hospital serta akses jalan.

“Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Ada juga pemaju menyediakan kemudahan tambahan lain,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.


Pengarang :