Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan bunga kepada peserta sempena program Anugerah Tokoh Hari Ibu Pekawanis di Hotel RHR, Gombak pada 27 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

800 pesakit kronik terima bantuan Ziarah Medik kelolaan Pekawanis

GOMBAK, 28 JUN: Seramai 800 pesakit kronik menerima bantuan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menerusi program Ziarah Medik pada tahun ini.

Yang dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan itu melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan 38 DUN pada enam bulan pertama tahun ini dan 42 DUN lagi pada enam bulan kedua bermula Ogos ini.

“Kita sudah selesai fasa pertama Ziarah Medik membabitkan dana RM2,500 bagi setiap DUN untuk disalurkan kepada 10 pesakit yang masing-masing akan menerima bantuan RM250 setiap seorang.

“Susulan sambutan yang diterima pada fasa pertama kita akan teruskan dengan fasa kedua juga melibatkan peruntukan RM2,500 bagi setiap DUN. Secara keseluruhan RM200,000 disediakan bagi Ziarah Medik tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu Pekawanis DUN Sungai Tua di Hotel RHR Bandar Baru Selayang di sini.

Tahun lalu, Pekawanis memperuntukan RM100,000 bagi membantu pesakit kronik membeli ubat dan keperluan diri.

Program itu mengutamakan ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) dari keluarga kurang berkemampuan (B40).


Pengarang :