Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj ketika ditemui media selepas meninjau keadaan rumah di Taman Klang Jaya, Klang yang rosak akibat pengubahsuaian rumah jirannya pada 14 Jun 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNPBTSELANGOR

ADN: Pertemuan khas bincang isu kediaman rosak akibat ubah suai

KLANG, 14 JUN: Pertemuan khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tular membabitkan kediaman di Taman Klang Jaya yang rosak akibat pengubahsuaian rumah jirannya.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata pertemuan itu melibatkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan kedua-dua pemilik rumah bagi mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi sejak 2012.

Menurut Dr G Gunaraj kes terbabit pernah dibawa ke mahkamah pada 2019, namun keputusan tidak memihak kepada pengadu sehingga mereka sekeluarga terpaksa menyewa di lokasi lain kira-kira dua tahun lalu atas faktor keselamatan.

“Pada 2018, MPK meminta pemilik kediaman sebelah untuk perbaiki rumah selepas aduan oleh pengadu pada 2016. MPK turut melantik perunding untuk kenal pasti punca keretakan tetapi tiada tindakan diambil.

“Pihak bomba turut mengesahkan rumah terbabit tidak selamat diduduki dan sehingga sekarang banyak masalah dihadapi rumah itu di ruang tamu dan bilik.

“Jadi kita akan atur pertemuan antara semua pihak termasuk MPK untuk mencari jalan menyelesaikan perkara ini,” katanya selepas meninjau kerosakan rumah itu bersama wakil Jabatan Bangunan MPK hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu itu dibawa ke perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sekiranya perbincangan menemui jalan buntu.

“Saya dimaklumkan rumah sebelah menjalankan kerja pengubahsuaian dengan kelulusan dan permit MPK serta memenangi tuntutan sivil pada Jun 2020.

“Pihak saya mengambil tanggungjawab untuk membantu perkara ini selain percaya ia dapat diselesaikan secara inklusif dan harmoni,” katanya lagi.

Sementara itu, pemilik rumah, B Rakesh, 50, memohon maaf jika video ditularkan menyinggung perasaan pelbagai pihak, namun kecewa kerana aduan dibangkitkan sebelum ini seolah-olah tiada tindakan.

“Kalau boleh saya mahu keadilan dan rumah yang dihuni sejak 30 tahun lalu kembali seperti sedia kala, apatah lagi ia rumah pusaka,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, MPK meminta seorang individu membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan wujud unsur rasuah bagi pengubahsuaian sebuah rumah di daerah ini.

Individu itu diminta membuat laporan supaya siasatan boleh dijalankan ke atas mana-mana kakitangan yang disyaki berbuat demikian.


Pengarang :