AGENDANASIONAL

Air Selangor: Bekalan air di 47 kawasan di Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 22 JUN : Kerja penambahbaikan sistem bekalan air yang dilaksanakan di Kolam Air Bukit Dengkil sudah siap sepenuhnya jam 7 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) memaklumkan susulan itu semua 47 kawasan terjejas di Petaling sudah menerima bekalan air.

“Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air di 47 kawasan yang terjejas di wilayah Petaling berikutan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil semalam pulih sepenuhnya jam 7 pagi tadi.

“Terima kasih kepada pengguna kerana bersabar dan beri kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya di Facebook.

Kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil dimulakan 9 pagi semalam mengikut jadual seperti diumumkan pada 10 Jun lalu.

Pembaikan tersebut mengambil masa 24 jam dan agihan air ke 47 kawasan dalam wilayah Petaling dibuat secara berperingkat.

Maklumat lanjut kawasan terlibat dan agihan air dimuatkan di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.


Pengarang :