Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan hadiah utama kepada pemenang kempen Smart Selangor Citizen Hadi Halim Hassan sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aktif guna aplikasi CEPat bawa tuah, pemuda tidak sangka menang motosikal

AMPANG, 20 JUN: Seorang pengguna aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment’ atau CEPat tidak menyangka diumum sebagai pemenang hadiah utama peraduan kempen Smart Selangor Citizen.

Hadi Halim Hassan, 37, yang menggunakan aplikasi berkenaan untuk bayaran pelbagai jenis bil sejak dua tahun lalu membawa pulang hadiah sebuah motosikal jenis Honda ADV berkuasa 150cc.

Hadi Halim Hassan

Beliau bersyukur selepas sasaran untuk memenangi hadiah utama dalam kempen selama enam bulan bermula sejak Disember tahun lepas akhirnya tercapai.

“Difahamkan pemenang dipilih berdasarkan jumlah bayaran tertinggi melalui saluran pertukaran proses kewangan (FPX) aplikasi itu. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya walaupun pada awalnya memang target untuk menang hadiah pertama.

“Motosikal yang diperoleh akan digunakan untuk urusan harian,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas di sini, semalam.

Kakitangan sebuah bank tempatan itu berkata aplikasi CEPat membantu memudahkan urusan pembayaran bil selain menjimatkan masa.

“Saya tidak perlu memuat turun banyak aplikasi untuk buat bayaran terutama parkir, apatah lagi ia mempunyai pilihan bayaran dengan salah satu daripadanya FPX,” katanya.

Aplikasi CEPat dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.


Pengarang :