Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping (dua, kanan) bercakap pada sidang media pengumuman Anugerah Top ECM di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anugerah peniaga e-dagang diteruskan kali ketujuh, sasar 250 peserta

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) diteruskan tahun ini selama tiga bulan bermula esok bagi menghargai usahawan yang berjaya.

Menurut Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), penganjuran program kali ketujuh menyasarkan 250 penyertaan dengan nilai jualan RM50 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata anugerah yang menawarkan ganjaran tunai sehingga RM60,000 turut memilih lima peserta bagi meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa.

“Peserta yang mahu sertai perlu mempunyai laman e-dagang sebelum Mac tahun ini dan mencapai jualan sekurang-kurangnya RM25,00 atau mendapat 100 tempahan sepanjang setahun hingga bulan ini selain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Penganjuran ini ditaja Affin Bank Berhad manakala platform niaga digital Subplace sebagai laman e-dagang rasmi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Kai Ping, anugerah Top ECM mula diperkenalkan pada 2016 dengan hanya 60 peserta terlibat, namun jumlahnya terus meningkat sehingga 181 peniaga tahun lalu dengan hasil jualan RM47 juta.

“Penambahbaikan ini menunjukkan industri e-dagang terus berkembang. Sepanjang enam kali penganjuran, jumlah jualan direkodkan sebanyak RM123 juta,” katanya lagi.


Pengarang :