Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendeklamasi puisi karya A. Samad Said sempena Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun (salina) di Pavilion Selangor PBAKL Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru martabatkan bahasa Melayu, galak pelajari bahasa asing

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Pemimpin negara ini dinasihatkan supaya tidak hanya menggunakan slogan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Sebaliknya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin harus mendukung pesta buku sebagai program nasional.

“Kita hendak martabat bahasa Melayu, slogan sana. Kalau benar hendak martabat dukung pesta buku dan bantu Dewan Bahasa Pustaka (DBP) jadi gedung penting dalam negara.

“Ini dapat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang tinggi, dihormati dengan mengupas soal agama, falsafah, teknologi dan sains, bukannya slogan-slogan murahan,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Peluncuran buku kombo merdeka 65 tahun tulisan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam turut menggalakkan anak muda menguasai pelbagai bahasa selain bahasa Melayu supaya negara terus maju.

“Saya tidak mahu pandangan sempit yang menganggap martabat bahasa Melayu ‘zero sum game’, maknanya meremehkan bahasa Inggeris.

“Pada masa sama dalam kalangan elit bandar hendak martabat bahasa Inggeris tetapi meremehkan bahasa Melayu, ini sikap yang tidak boleh diterima,” katanya.


Pengarang :