Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor ketika menahan bot kargo yang membawa 15 tong minyak diesel serta 32 baldi dan 30 botol minyak pelincir di 0.1 batu nautika barat daya Pelabuhan Klang, 16 Jun 2022. Foto Facebook APMM
AGENDANASIONAL

APMM tahan bot kargo bawa diesel tanpa kebenaran di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 17 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kargo yang membawa 15 tong minyak diesel serta 32 baldi dan 30 botol minyak pelincir tanpa kebenaran di 0.1 batu nautika barat daya Pelabuhan Klang semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim V Siva Kumar berkata bot itu ditahan oleh bot PERKASA 35 semasa rondaan rutin dan penguatkuasaan di perairan Selangor sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Beliau berkata pemerikaan awal mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dengan seorang kru yang masing-masing merupakan lelaki warga tempatan berusia 60 dan 64 tahun.

“Tekong dan kru juga telah gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah untuk membawa bahan tersebut di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA), selain, hanya memiliki PDA yang telah tamat tempoh berakhir pada 30 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Susulan itu katanya tekong, kru, bot serta muatan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah, dekat sini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Petroleum 1985 (Langkah – Langkah Keselamatan dan Pengangkutan Petroleum Melalui Air).

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan.

-BERNAMA


Pengarang :