Nyo Ci Hui (tengah) ketika mewakili Perak menjuarai acara ‘Point Race Women Junior 15KM’ pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2022 di Velodrom Nasional pada 29 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet berbasikal negara raih emas kejohanan trek remaja Asia

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pelumba pelapis pasukan trek negara, Nyo Ci Hui, memperagakan kayuhan bertenaga untuk meraih emas dalam acara scratch wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia ke-28 di New Delhi, hari ini.

Pelumba kelahiran Perak berusia 18 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran daripada lapan pelumba lain untuk muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 7.5 kilometer (km) di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.

Dalam saingan 30 pusingan itu, pelumba Jepun, Mizuki Ikeda, meraih pingat perak manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba Uzbekistan, Sofiya Karimova.

“Seluruh pasukan berasa sangat gembira dengan pencapaian Nyo kerana kegigihan beliau menjalani latihan dan pada masa yang sama perlu membahagikan masa untuk menduduki peperiksaan SPM yang lepas,” kata pengurus pasukan Mohd Saiful Abdul Jalil ketika dihubungi.

Sementara itu, Yong Ann Tung turut menaiki podium selepas mengatasi pelumba senegara Azwa Nabila Abdullah untuk merebut pingat gangsa dalam acara pecut remaja.

Emas menjadi rebutan pelumba Korea Selatan apabila Na Yunseo mengecewakan Kim Chaeyeon.

— BERNAMA

 


Pengarang :