Pemain skuasy remaja negara Aifa Azman pada perlawanan Terbuka Malaysia 2021 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada 27 November 2021. Foto Facebook Team Malaysia
AGENDA SUKANKINI

Atlet skuasy wanita, Aifa dipilih pembawa Jalur Gemilang di Birmingham

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Pemain skuasy wanita negara Aifa Azman dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 menggantikan S. Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya Ahad lepas.

Pemain berusia 20 tahun itu akan menggalas tanggungjawab bersama jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi temasya di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Majlis Olimpik Malaysia dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, hari ini.

Pemain di ranking ke-28 dunia yang juga juara Terbuka Malaysia 2021 akan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu wanita (berpasangan dengan Rachel Arnold) pada penampilan keduanya di Sukan Komanwel kali ini.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, Aifa menyertai acara perseorangan wanita dan beregu campuran bersama Sanjay Singh.

Pemain kelahiran Kedah itu pernah merangkul pingat gangsa bagi acara berpasukan wanita di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dan emas acara sama pada Sukan SEA KL 2017.

“Aifa adalah pemenang termuda Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada 2018 ketika berusia 16 tahun. Adalah menjadi harapan MOM agar pemilihan Aifa sebagai pembawa Jalur Gemilang akan menyuntik semangat baharu untuk atlet-atlet lain dalam kontinjen Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MOM pada awalnya menamakan pemain skuasy nombor satu negara Sivasangari, 23, bersama-sama Bonnie Bunyau, yang juga juara Paralimpik dan dunia, sebagai pembawa bendera bagi kontinjen negara.

Namun Sivasangari, pemain di ranking ke-19 dunia dan harapan pingat emas di Birmingham, terpaksa melupakan aksi di Sukan Komanwel akibat kecederaan dialaminya selepas terlibat dalam kemalangan dan dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang.

– BERNAMA


Pengarang :