Pemain wanita Bawah 16 Tahun (B-16) Eng Ler Qi dari Selangor mempertahankan kejuaraannya pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 di Akademi Badminton Perak, Meru, hari ini. Foto Facebook LJY Badminton Academy
AGENDASUKANKINI

Badminton Jelajah Remaja Elit: Selangor pertahankan kejuaraan wanita B-16

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Pemain wanita Bawah 16 Tahun (B-16) Eng Ler Qi dari Selangor mempertahankan kejuaraannya pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 di Akademi Badminton Perak, Meru, hari ini.

Ler Qi, yang juga juara pusingan pertama Kumpulan A pada Mei lepas, menepati ramalan apabila menewaskan wakil Melaka, Shaneesa Shahidi menerusi straight set 21-12, 21-16 dalam masa 45 minit.

Menurut kenyataan penganjur, Ler Qi meraih kejayaan berganda apabila turut muncul juara beregu wanita menerusi gandingan dengan Shan Lee Yu untuk mudah menundukkan rakan seperjuangan, Chow Hui Er-K. Reesha 21-17, 21-14.

“Saya telah bermain dengan lebih tenang dan kawal cara serangan sepanjang perlawanan. Sudah tentu gembira dapat pertahankan kejuaraan untuk kali kedua tetapi juga perlukan latihan terutama permainan di jaring,” kata Ler Qi.

Sementara itu, aksi perseorangan lelaki B-16 diungguli Shawn Hiu dari Selangor yang berjaya menundukkan Yap Chun Sin 22-20, 21-8.

“Saya agak gemuruh di awal set dan banyak melakukan kesilapan dan dibantu dengan beberapa pukulan bertuah. Di set kedua lawan semakin perlahan dan saya manfaatkan peluang ini,” katanya.

Perak selaku tuan rumah turut meraih satu pingat emas menerusi beregu lelaki, apabila Fan Jing Xuan-Muhd Al-Imran Jasni menang ke atas rakan sepasukan, Loh Chee Kiat-Rex Ng Man Hei 21-16, 21-16.

“Kami cuma bermain sahaja dan tidak merasakan tekanan walaupun beraksi di tempat sendiri menentang rakan sepasukan kerana baru digandingkan seminggu sebelum kejohanan ini,” kata Al-Imran.

Sementara itu, aksi final bagi B-14 menyaksikan Teh Xin Ying (Kuala Lumpur) meraih kejuaraan berganda, sekali gus mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita kategori itu.

Xin Ying mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita selepas menundukkan rakan sepasukan yang juga pilihan kedua, Teoh Sue Mei 21-8, 21-10, manakala gandingannya bersama Wong Au Mei menghadiahkan kemenangan 21-9, 21-15 ke atas pilihan kedua dari Selangor, Chan Zhi Xuan Annabelle-Lim Yew Ern.

– BERNAMA


Pengarang :