Pemain Harimau Malaya Mohamad Faisal Halim cuba melepasi kawalan bola dari pemain Turkmenistan Bashimov Abdy pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Bahrain akui bakal hadapi perlawanan sukar bertemu Malaysia esok

SUBANG JAYA, 10 JUN: Bahrain menyedari bakal berhadapan perlawanan sukar menentang Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023 malam esok, meskipun pasukan itu berada pada kedudukan dunia lebih tinggi berbanding pasukan negara.

Ketua Jurulatih Bahrain Helio Sousa mengakui skuad Harimau Malaya adalah sebuah pasukan yang berkualiti justeru pasukan kendaliannya yang diberi jolokan ‘Dilmun’s Warriors’ perlu lebih berwaspada dan tidak memandang rendah kemampuan anak didik Kim Pan Gon.

Katanya darjah kesukaran turut dipengaruhi kelebihan pasukan negara yang beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan padu penyokong sekali gus menjadikan aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil akan menjadi sengit.

“Pasukan Malaysia kini jauh lebih kuat berbanding sebelum ini dan mempunyai pemain berkualiti serta berada pada kedudukan di atas dan kami sedar perkara itu dan kami melakukan persediaan terbaik untuk meraih kemenangan.

“Pasukan kami berada pada ranking lebih tinggi tetapi secara teorinya mereka (Malaysia) adalah pasukan yang kuat…Mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Persekitaran ini yang mencetuskan para penyokong yang hebat dan membantu melonjakkan Malaysia untuk menjadi lebih kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Sousa pada masa sama turut mengagumi kelebihan pasukan negara yang mampu mengekalkan momentum permainan sepanjang 90 minit perlawanan ketika melakar kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan pada aksi sulung kumpulan Rabu lepas.

Sementara itu, penyerang Bahrain Kumail Alaswad yang berjaya mencetak nama selaku penjaring pada perlawanan menentang Bangladesh, turut menjangkakan perlawanan sengit bertemu Malaysia Sabtu ini.

Beliau bagaimanapun tetap meletakkan sasaran untuk meraih tiga mata penuh walaupun mungkin perlu menghadapi tekanan penyokong tempatan.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sengit di hadapan penonton lebih ramai esok di stadium tetapi kami telah membuat persiapan yang sangat baik, dan pasukan bersedia untuk mendapatkan tiga mata bagi mengungguli kumpulan,” katanya.

Malaysia dan Bahrain kini mengumpul tiga mata di kedudukan teratas Kumpulan E selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing dengan Bahrain menang 2-0 ke atas Bangladesh, Rabu lepas.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

– BERNAMA


Pengarang :