R Logiswari menerima bakul makanan daripada Datuk Bandar Petaling Jaya Azhan Md Amir pada 18 Jun 2022. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Bakul makanan MBPJ sempena ulang tahun ringankan beban penduduk

PETALING JAYA, 19 JUN: Bakul makanan sumbangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-16 membantu ibu tunggal empat anak meringankan kos belanja bulan ini.

R Logiswari, 40, berkata ketika ini dia perlu berjimat cermat memandangkan ekonominya baharu pulih selepas terkesan teruk sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya kerja sektor perhotelan. Masa PKP, gaji terkesan dan terpaksa gunakan duit simpanan serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk tanggung anak berusia 11 hingga 18 tahun.

“Sekarang baharu ekonomi nak stabil. Bila hari ini (semalam) dapat bantuan makanan dan perkakas dapur, kurang sikit beban belanja bulan ini. Saya hargai bantuan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu Noraini Sam, 60, berkata dia mengalu-alukan sebarang bantuan dari mana-mana pihak bagi mengurangkan beban ditanggung.

Datuk Bandar Petaling Jaya Azhan Md Amir menziarahi Baayah Yeop, 86, di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang pada 18 Jun 2022. Foto MBPJ

Ketika ini penjaja kecil berkenaan perlu menyara ibunya Baayah Yeop, 86, yang terlantar sejak tujuh tahun lalu dan suami Jaluddin Yassin, 57, yang mengalami masalah ingatan.

“Saya perlukan bantuan. Sebelum PKP ada mohon Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun sehingga kini tiada jawapan.

“Terima kasih beri bantuan ini. Sekurang-kurangnya dapat tampung beban belanja beli barangan makanan asas,” katanya.

Terdahulu Datuk Bandar Petaling Jaya Azhad Md Amir melawat keluarga berkenaan dan menyerahkan bakul makanan berisi beras, minyak serta beberapa perkakas dapur.


Pengarang :