Peserta menghadiri temu duga program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu dapat kerja, peserta program JobCare negeri gembira cepat ditemu duga

GOMBAK, 4 JUN: Peserta Jelajah JobCare menyifatkan program tersebut memudahkan golongan belia yang masih tidak bekerja mendapat pekerjaan terutama ketika pascawabak.

Syazan Syazanif Mohd Hanif,23, berkata beliau menghantar permohonan mencari kerja menerusi pelbagai medium termasuk e-mel sejak Februari lalu, namun sehingga kini belum ada syarikat memberi maklum balas.

Syazan Syazanif Mohd Hanif

“Saya buat keputusan untuk berdaftar program JobCare dan tidak sangka mereka terus meminta saya untuk menghadiri sesi temu duga.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila dipanggil pula untuk hadir sesi temu duga kedua pada minggu hadapan,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Bagi Siti Hajar Abd Rahman, 29, dirinya sedikit gementar untuk menghadiri temu duga hari ini berikutan sudah setahun tidak bekerja kerana menjaga ibu yang sakit.

“Saya cuba daftar program ini dan tidak sangka pula terima maklum balas cepat. Memang saya gembira apabila mereka memaklumkan boleh hadir temu duga pada hari ini. Saya bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama.

Siti Hajar Abd Rahman

“Program ini sangat bagus kerana mudah dan cepat bagi mana-mana individu yang ingin mencari kerja, malah boleh menjalani temu duga di beberapa syarikat,” katanya.

Jelajah JobCare yang diadakan di sembilan daerah bermula 26 Februari sehingga 25 Jun disertai 15 syarikat tempatan dari pelbagai sektor dengan menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site .

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  • Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
  • Dewan Banting Baru, Kuala Langat (18 Jun)
  • Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam (25 Jun)

Pengarang :