EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail menyampaikan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada penerima ketika Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan dana negeri lulus tempoh sebulan, sokong peniaga bangkit pascabah

SHAH ALAM, 21 JUN : Seorang peniaga kedai runcit tidak menyangka permohonan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) mudah diluluskan tanpa melalui proses rumit.

Suriani Mohamed, 42, berkata beliau pada mulanya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan bantuan dana diluluskan, kurang sebulan dari tarikh permohonan .

Suriani Mohamed

“Saya dapat tahu inisiatif ini daripada seorang rakan dan tanpa berfikir panjang terus cuba memohon. Alhamdulillah peralatan yang saya minta iaitu peti sejuk beku tiga pintu dan mesin peti tunai berjaya diluluskan.

“Kebetulan peti sejuk beku sebelum ini sudah rosak dan tidak sejuk, saya benar-benar bersyukur rasa seperti insan terpilih. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana prihatin nasib usahawan,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi usahawan kraftangan Fauzi Abdul Majid, 50, bantuan peralatan itu tepat pada masanya untuk beliau memulihkan kembali perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan banjir tahun lalu.

“Disebabkan musibah melanda banyak peralatan di bengkel kraftangan miliknya di Batu 18, Hulu Langat musnah sehingga terpaksa menutup premis itu bagi tempoh yang lama.

Fauzi Abdul Majid

“Alhamdulillah geran peralatan yang diterima ini dapat membantu saya menghias semula bengkel ini di samping menyuntik semangat untuk terus mengembangkan hasil kraftangan,” katanya.

Fauzi yang lebih 20 tahun dalam bidang kraftangan bunga dan batik itu menerima bantuan peralatan seperti kerusi, meja, rak meletak barangan dan komputer.

Beliau antara 14 usahawan menerima geran bantuan peralatan perniagaan melalui DUMS bagi daerah Hulu Langat di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang, pada 19 Jun lalu.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata sebanyak RM249,128 diperuntuk dengan peniaga menerima bantuan peralatan maksimum RM30,000 bagi meningkatkan produktiviti operasi disamping meringankan beban.

Geran DUMS diperkenal bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan hasil jualan.

 


Pengarang :