Pemilik Rumah Idaman mengukir senyuman selepas menerima kunci Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Banyak kali gagal pinjaman, suami isteri lega mudah beli Rumah Idaman

KAJANG, 25 JUN: Impian pasangan adik-beradik untuk memiliki kediaman pertama akhirnya termakbul apabila menerima kunci Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi Kajang 2, Semenyih dekat sini, semalam.

Lebih manis, Syazwan Abdul Hanif, 33, dan Syazratul Asyikin Abdul Hanif, 36, berjaya mengotakan janji kepada ibu mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Ia turut menoktahkan kekecewaan Syazwan yang beberapa kali gagal mendapat pembiayaan perumahan atas faktor pendapatan bulanan selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Gembira sangat dapat rumah, mana tidaknya lima tahun saya menyewa dan tidak boleh berbuat apa-apa dengan rumah tersebut. Dengan adanya kediaman sendiri, saya boleh dekorasi sendiri ruang dalaman.

“Kalau ikutkan saya rancang beli rumah selepas kahwin lima tahun lepas, tetapi belum ada rezeki lagi ketika itu. Alhamdulillah kali ini baru berpeluang merasainya,” kata Syazwan ketika ditemui Selangorkini.

Syazratul Ashikin Abdul Hanif (kiri) dan Syazwan Abdul Hanif menunjukkan kunci rumah Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang yang diterima pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau juga tidak menyangka rumah dibeli pada harga RM250,000 dengan keluasan 92.9 meter persegi mempunyai fasiliti separuh lengkap yang jarang diperoleh di kediaman lain.

“Selain hampir dengan rumah ibu, harga ditawarkan antara faktor saya memilih kediaman di sini. Rumah ini mempunyai penyaman udara, peti ais dan televisyen termasuk kemudahan lain seperti kolam renang, tadika serta surau,” katanya.

Sementara itu, kakaknya, Syazratul Asyikin bersyukur kerana rezeki memihak kepada mereka meskipun pada awalnya hanya dia yang berhasrat memohon rumah itu.

“Kebetulan semasa saya mahu pilih unit rumah, saya ajak dia (adik) sekali. Saya cuba tanya pihak berkaitan jika masih ada kekosongan, kemudian dia mohon dan layak.

“Teruja apabila dapat kunci hari ini (semalam) dan tidak sabar untuk masuk, apatah lagi selama ini saya tinggal bersama ibu mentua di Ampang, kadangkala pulang ke rumah ibu di Kajang,” katanya.

Bagi Siti Raihana Abu Yazaid, 36 dan suami Mohd Fared Md Jamel, 39, mereka menanti dengan penuh sabar untuk memiliki kediaman pertama sejak membina mahligai perkahwinan 10 tahun lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, katanya, mereka menyewa di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Bangi dengan kadar sewa hampir sama dengan Rumah Idaman yang diakui lebih selesa dan selamat diduduki.

“Sebelum ini kami ada mohon rumah lain tetapi gagal disebabkan gaji, namun kami tidak berputus asa sehinggalah permohonan Rumah Idaman dibuka pada 2020. Kami cepat-cepat mohon dan syukur urusan dipermudahkan,” katanya.


Pengarang :