Freddy Wilfred Vias ketika menyertai Larian Berganti-ganti Obor Olimpik sempena Sukan Olimpik Beijing 2008 pada 21 April 2008 di Kuala Lumpur. Foto Facebook MOM
AGENDASUKANKINI

Bekas pemain hoki Olimpik, Freddy Wilfred meninggal dunia pada usia 93 tahun

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bekas pemain hoki kebangsaan Freddy Wilfred Vias meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya tengah hari tadi pada usia 93 tahun.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi perkongsian di Facebook mengesahkan kematian Freddy, yang merupakan pemain pasukan kebangsaan pada era 1950-an serta kapten pasukan pada 1954.

Lebih dikenali sebagai ‘Uncle Freddy’ beliau merupakan salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara (Persekutuan Tanah Melayu) untuk membuat penampilan sulung pada Olimpik 1956 di Melbourne.

Freddy juga dilantik sebagai setiausaha Persatuan Hoki Johor pada 1950 hingga 1953 dan setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sembilan pada 1956 hingga 1957.

Beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan sukan-sukan di Malaysia menerusi pelbagai jawatan ketika berkhidmat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu sebagai Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri (1966-1970), Pegawai Bahagian Sukan (1972-1980), Pengarah Sukan (1980-1981) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (1 April 1981 hingga 31 Dis 1981).

Pencapaian Freddy turut diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada 2004 sempena sumbangannya dalam pembangunan sukan di Malaysia, selain pernah dipilih sebagai salah seorang daripada 80 orang pembawa obor untuk Larian Berganti-ganti Obor Olimpik yang diadakan sempena Olimpik Beijing 2008 pada 21 April tahun sama di sini.

“Pemergian Freddy Wilfred adalah satu kehilangan besar kepada fraterniti sukan di Malaysia,” menurut kenyataan MOM itu.

– BERNAMA


Pengarang :