Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekas pemandu lori dipenjara lima bulan tendang, ugut ibu dan adik

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Gara-gara menendang ibu dan mengugut wanita itu serta adik perempuannya menggunakan gunting, bekas pemandu lori dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu ke atas Alif Najmi Abdul Halim, 22, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Alif Najmi dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mencederakan ibunya Suhaila Mohd Jidin, 47, dengan menendang bahagian belakang pinggang kiri wanita itu di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul di sini pada 8.30 pagi, semalam (8 Jun).

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Bagi kesalahan kedua, Alif Najmi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut ibu dan adiknya Nur Alia Wardina, 21, menggunakan sebilah gunting sehingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh tangkap semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah mental serta menanggung keluarga selain insaf atas perbuatannya.

-BERNAMA


Pengarang :