Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari bercakap ketika Sepetang bersama Dato’ Menteri Besar di Pentas Utama Pesta Buku Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Belia digalak baca bahan bacaan serius, MB saran buku terjemahan IBDE

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Golongan muda digalak membaca bahan bacaan serius tanpa rasa takut dengan ketebalan buku berkenaan, saran Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berjudul ‘Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal’ antara bahan bacaan yang sesuai untuk dihayati.

“Membaca buku tidak merugikan kita walau apa pun jenis buku itu. Ada bahan bacaan ringan dan juga yang ‘berat’ tetapi saya nak saran jangan takut untuk baca bahan yang ‘berat’.

“Kadangkala buku yang ‘berat’, tebal ini menjadi ketakutan dan mungkin fobia untuk membaca tetapi saya tertarik dengan buku Muhammad hasil karya Martin Lings. Biografi yang menyeluruh mencatat kisah perjalanan awal dari kecil hingga selepas kematian Baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jenis tema buku yang sesuai dibaca golongan muda pada program Sepetang Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

Amirudin menjelaskan buku yang diterjemah  Ketua Pengarang IBDE Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan Pengarah Eksekutifnya Farhan Affandi.sejak dari 2018 sebelum siap sepenuhnya pada 2020 terjual lebih 15,000 naskhah dalam dua kali cetakan.

Buku asal mengandungi 362 muka surat manakala terjemahan bahasa Melayu setebal 496 halaman meliputi 85 bab. Dicetak kulit keras, rekaannya berkonsep minimalis, sesuai cita rasa peminat buku masa kini.

Selain biografi itu, IBDE gigih menghasilkan terjemahan  kitab ulama tersohor yang dikarang hampir seribu tahun lalu antaranya tulisan Imam al-Ghazali berjudul Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Penyelamat Daripada Kesesatan.


Pengarang :