Adha Izhan Adnan berjaya membuktikan jenama tempatan mampu bersaing dengan produk keluaran antarabangsa. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Berkat inspirasi bonda, jualan kasut ‘Madre’ cecah RM500,000 sebulan

Terbongkok-bongkok si anak kecil memberus satu-satunya kasut sekolah dengan cermat. Dibilas dan dikapurnya. Kasut yang lusuh tadi jadi putih.

Kemudian, si anak yang masih bersekolah rendah ketika itu mengikut ibunya menjaja bunga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. Di kaki lima, ibu membentang kotak untuk lapik duduk. Di situ si anak kecil menunggu bunga habis terjual. Dia tahu pendapatan ibu dan bapa sebagai buruh kasar hanya cukup makan.

Di persimpangan jalan tidak jauh dari pasar, rakan-rakan menanti. Dia menyertai mereka berjalan beriringan sambil bercerita mengenai baju dan kasut masing-masing. Anak kecil itu hanya mendengar. Tumpang gembira melihat rakan mengenakan kasut baharu. Detiknya, “tidak mengapa, suatu hari nanti aku beli kasut baharu banyak-banyak.”

Itu lebih 25 tahun lalu. Kini, Adha Izhan Adnan, 35, memiliki perusahaan kasut sendiri. Beliau diiktiraf Sidec sebagai antara usahawan e-dagang meraih jualan tertinggi. Kasut keluaran syarikat miliknya Madre Sdn Bhd mencatat jualan mencecah RM1.8 juta pada 2021.

Seorang pelanggan mencuba kasut yang dijual di butik ‘Madre’ di Cyberjaya. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mula berniaga

Adha Izhan berniaga kasut pada 2013 atas cadangan ibu, Pah Halimah, 61, Itulah sebab nama syarikat dan jenama dinamakan ‘Madre’ yang bermakna ‘ibu’ dalam bahasa Itali dan Sepanyol.

Sebelum itu, lepasan Universiti Multimedia di Cyberjaya bekerja sebagai jurufoto perkahwinan sambil menjual kasut.

Beliau memperoleh bekalan rekaan terbaru dari Thailand menerusi ibunya di Kelantan. Lantaran rekaan kasut menarik, jualan meningkat hingga mencecah 10 hingga 20 pasang sehari. Lazimnya melalui Facebook.

Apabila permintaan semakin tinggi, Adha Izhan tidak lagi menerima tempahan mengambil gambar sebaliknya hanya sesi fotografi di studio.

“Saya banyak belajar dengan pengusaha tudung dan pakaian yang datang ke studio untuk ambil gambar iklan produk mereka.

“Sambil ambil gambar saya berbual, tanya pengalaman mereka. Akhirnya saya mula yakin untuk hasilkan produk kasut keluaran sendiri pula” katanya ketika ditemui di Cyberjaya pada 22 Mac.

Buka kedai

Bermodal RM40,000, beliau memperkenal kasut wanita jenama Madre pada 2013. Ia dihasilkan di kilang tempatan mengikut rekaan Adha Izhan sendiri.

Beliau membuka kedai pertama di Seri Kembangan dan meraih jualan lebih 30 pasang kasut sehari. Pada hujung 2014, Adha Izhan membuka cawangan di Bangi pula. Selang setahun, beliau memperoleh jualan mencecah RM1 juta.

Selain di kedai dan Facebook, laman sesawang syarikat menyumbang jualan paling banyak. Pada 2017 beliau yang dibantu isteri, Noorul Hidayah, 30, membuka butik kasut di Cyberjaya.

Sedar pasaran e-dagang semakin berkembang, syarikat Madre Sdn Bhd pada 2019 menyertai Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan memasarkan kasut terkini dalam Shopee.

Pada 2019 dan 2020, beliau mendapat pengiktirafan Sidec sebagai antara peniaga yang meraih jualan tertinggi. Beliau juga bersyukur apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memberi kesan negatif.

“Dalam tempoh PKP pernah jualan mencecah RM40,000 sehari. Semasa musim raya 2020 jualan cecah RM500,000 hanya dalam tempoh sebulan sahaja,” katanya.

Kakitangan ‘Madre’ sedang menyusun kasut sebelum dijual kepada pelanggan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi memastikan rekaan kasut jenama itu relevan dengan pasaran semasa, beliau mewujudkan kumpulan komuniti di Facebook yang dianggotai pelanggan setia dan penggemar fesyen.

“Kami buat kajian, tunjuk ilustrasi grafik untuk dapatkan pendapat ahli komuniti Facebook. Mereka akan beri cadangan dan idea bermacam-macam. Sampaikan ada rekaan mempunyai sembilan pilihan warna,” katanya.

Selain rekaan, beliau mementingkan kualiti kasut. Adha Izhan juga mempunyai rangkaian dengan pengilang di China, Thailand, Indonesia selain di negara ini yang bertanggungjawab menghasilkan kasut rekaannya.

Selepas hampir 10 tahun, Adha Izhan membuktikan jenama tempatan mampu bersaing dengan produk keluaran antarabangsa.


Pengarang :