Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) pada Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Bingkas sedia peruntukan RM108 juta, mula disalurkan bulan depan

KUALA LANGAT – Seramai 30,000 keluarga bakal menikmati Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menerusi peruntukan berjumlah RM108 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penerima bakal menerima iniasitif yang diperkukuh dari program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) mulai Julai.

Beliau menambah setiap keluarga penerima bakal menerima bantuan berjumlah RM3,600 setahun berbanding hanya RM2,400 sebelum ini.

“Sebelum ini, KISS dilaksana secara terus sehingga Jun tetapi Julai nanti, ia dinaik taraf kepada Bingkas iaitu RM200 sebulan kepada RM300 sebulan,” katanya ketika melancarkan inisitif itu di Dataran Pantai Morib di sini pada 25 Jun.

Amirudin berkata KISS dinikmati 21,000 penerima tetapi bilangannya bertambah 9,000 keluarga menerusi Bingkas, keseluruhannya membabitkan 180,000 individu.

Justeru, beliau meminta penerima Bingkas yang diserap automatik daripada KISS mengemas kini maklumat bagi melancarkan penyaluran bantuan kendalian Selgate.

Bingkas antara inisiatif dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Insiatif Peduli Rakyat bagi membantu kebajikan lebih ramai penduduk negeri ini.

Inisiatif itu bertujuan mendepani cabaran pascapandemik selain meluaskan capaian supaya manfaatnya dirasai bukan sahaja golongan ibu tetapi keseluruhan keluarga.

Skim itu mengetengah konteks kepedulian, penyayang dan semangat kemanusiaan itu turut menambah baik inisiatif kesihatan termasuk memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.


Pengarang :