Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pasukan bola sepak selepas majlis Pelancaran Jersi Bintang Gombak FC Sempena Liga International Garuda Cup 2 Indonesia di Hotel RHR, Gombak pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Bintang Gombak FC miliki peluang cerah julang trofi liga antarabangsa

SELAYANG, 27 JUN: Skuad Bintang Gombak FC bawah 17 tahun (B-17) berpeluang cerah menjulang trofi Liga Antarabangsa Garuda 2 berbekalkan pengalaman beraksi dalam pelbagai siri kejohanan tempatan sebelum ini.

Jurulatih Shahffuwan Hafizi Abdul Jalil berkata anak buahnya mampu memberi tentangan terhadap Indonesia, Brunei dan Filipina yang menghantar pasukan kebangsaan B-17 pada saingan sulung disertai di Bogor, Indonesia.

“Pasukan ini diundi dalam kumpulan C dengan salah satu pencabar adalah Indonesia yang menurunkan skuad kebangsaan mereka. Memang kualiti kelab berbeza kerana mereka berada pada tahap tinggi berbanding kelab kami.

“Bagaimanapun kami akan pastikan pemain berusaha membawa nama daerah, negeri dan negara. Sebab itu kami buat pemilihan dulu bagi mencari mereka yang benar-benar berbakat bersaing di pentas antarabangsa.

Jurulatih Pasukan Bintang Gombak FC, Shahffuwan Hafizi Abdul Jalil

“Apatah lagi mereka ini jaguh kampung yang sudah menyertai banyak liga kejohanan seperti Liga Komuniti dan Liga Super Remaja. Terbaharu, mereka mendapat tempat kedua dalam Liga Suparimau,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran jersi Bintang Gombak FC sempena Liga Antarabangsa Garuda 2 di Hotel RHR di sini semalam yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Shahffuwan berharap semua pemain diturunkan setiap perlawanan mempamerkan semangat juang yang tinggi memandangkan penyokong dan ibu bapa amat menanti kemenangan mereka.

“Mereka merupakan pelajar dari beberapa buah sekolah di Gombak yang kemudiannya digilap dan dicantumkan menjadi sebuah pasukan sejak usia 12 tahun untuk membawa nama pasukan ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi kami harap mereka cuba sehabis mungkin. Jika terkandas awal, kami tidak mahu mereka berputus asa,” katanya sambil memaklumkan kesemua pemain dijadual terbang ke republik itu esok.

Sementara itu, kapten pasukan Muhammad Danish Qayyim, 17, berkata meskipun berasa gemuruh, namun dia bangga apabila sebuah kelab kecil dari kampung layak beraksi di pentas global.

“Kami akan terus bersemangat dan main sehabis baik demi mengharumkan warga Gombak, Selangor dan Malaysia. Doa ibu bapa, penyokong dan kawan-kawan amat diharapkan supaya kami dapat menggapai kejayaan,” katanya.

Aiman Zikry Zaini, 17.

Bagi penjaga gol Aiman Zikry Zaini, 17, dia mahu semua pemain bekerjasama dalam satu pasukan bagi mengelak gawang gol mudah dibolosi lawan ketika perlawanan.

“Apa-apa boleh jadi di padang kerana bola itu bulat. Paling penting masing-masing kena percaya pada diri sendiri dan jangan ada rasa takut. Insya-Allah kami janji akan pulang dengan kemenangan,” katanya.

Selain Malaysia dan Indonesia, liga lima tahun sekali mulai 30 Jun sehingga 3 Julai depan turut disertai kelab bola sepak dari Singapura, Brunei dan Filipina.


Pengarang :