Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM di Putrajaya pada 2 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BNM, SPRM dan sektor kewangan perlu terus kerjasama perangi rasuah, penipuan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sektor kewangan bagi menyelaras usaha memerangi jenayah rasuah dan penipuan kewangan.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ini juga dapat mewujudkan kesedaran awam yang lebih berkesan serta jitu mengenai taktik penipuan terkini.

Menurutnya, selain memastikan langkah pencegahan lebih efektif oleh institusi kewangan, usaha itu dapat menyediakan sokongan bagi pemulihan dana yang diselewengkan serta membolehkan siasatan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang terbabit secara berkesan.

“Institusi kewangan sentiasa terdedah kepada penipuan dan pengubahan wang haram yang menjadikannya sebagai tempat selamat untuk menyembunyikan, berurus niaga dan menukar hasil daripada aktiviti haram.

“Penjenayah pula semakin kreatif dalam mencari kelemahan untuk memintas usaha wajar pelanggan (Customer Due Diligence) yang telah dilaksanakan dan mengeksploitasi pelbagai instrumen kewangan bagi aktiviti menyalahi undang-undang melalui kemudahan pembiayaan perdagangan, insurans, pindahan wang dan amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada majlis makan tengah hari SPRM bersama institusi-institusi kewangan Malaysia di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Azam berkata teknologi yang canggih selaras dengan kemajuan sistem maklumat juga menyaksikan modus operandi pelaku rasuah terus berkembang dan semakin kompleks.

Malah, katanya, perbuatan rasuah dan penipuan kewangan boleh disembunyikan melalui pelbagai lapisan rekod dan dokumentasi serta penukaran hasil haram menerusi medium baharu seperti aset maya, peniaga ‘bawah tanah’ (pasaran gelap), institusi kewangan rentas sempadan serta perkhidmatan kewangan luar pesisir.

Sambil menyifatkan peranan institusi kewangan sebagai barisan hadapan dalam memerangi rasuah dan penipuan kewangan sebagai amat penting, beliau berpendapat sebarang transaksi terutamanya yang melibatkan pelanggan berisiko tinggi, harus diteliti dari segi sumber perolehan dana serta ke mana wang itu digunakan.

“Semua bank berlesen dikehendaki melaksanakan piawaian keselamatan tertinggi, terutama untuk perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih seperti semakan keselamatan dan khidmat nasihat berkala mengikut panduan yang dikeluarkan oleh BNM kepada institusi kewangan,” katanya.

Menurut Azam, ini termasuk keperluan menambah baik kawalan sedia ada dan memastikan perlindungan secukupnya terhadap ancaman terkini selain mengekalkan perkhidmatan serba cekap kepada pelanggan.

“Bagi SPRM, kita mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengesan dan menyiasat kesalahan rasuah. Bagaimanapun, kerjasama berterusan dengan institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan yang lain juga amat penting.

“Kerjasama dalam bentuk perkongsian pengetahuan dan maklumat serta laporan proaktif mengenai aktiviti kewangan yang mencurigakan adalah penting dalam proses penyiasatan sebagai tanda amaran untuk mengesan kemungkinan berlaku kesalahan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :