Kempen Jom Derma Darah anjuran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang diadakan di Pusat Membeli-belah Aeon Shah Alam pada 28 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

BSMM, PDN jalin kerjasama tingkat bekalan darah negara

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pusat Darah Negara (PDN) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempergiatkan pengumpulan simpanan darah negara untuk persiapan kecemasan dan bencana.

Pengerusi Kebangsaan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata jalinan itu berupaya meningkatkan hubungan kerjasama antara BSMM dengan PDN dalam pelaksanaan program dan aktiviti penganjuran Kempen Derma Darah di seluruh negara secara rasmi.

“Sejak lebih 48 tahun lepas, BSMM melalui program Khidmat Kesihatan Komuniti telah mempergiat usaha membudayakan aktiviti pendermaan darah melalui kempen kesedaran serta program derma darah yang dijalankan di tempat awam.

“Namun kami dapati program kita tak selaras kerana ada sesetengah negeri yang lebih aktif daripada yang lain. Oleh itu, dengan MoU ini diharapkan program kutipan darah selepas ini lebih selaras supaya bekalan darah kepada tabung darah di peringkat negeri dan negara bertambah dan lebih konsisten,” katanya berucap pada majlis itu.

Memorandum itu ditandatangani oleh Tunku Puteri Intan Safinaz bersama Pengarah PDN Dr Afifah Hassan bertepatan dengan Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut hari ini.

Sementara itu, Dr Afifah berkata negara memerlukan kira-kita 2,000 beg darah untuk menampung keperluan 1,000 pesakit sehari di seluruh negara.

“Sehingga kini tiada lagi bahan sintetik yang dapat menggantikan darah. Oleh itu, kami mengharapkan pendermaan yang berterusan daripada semua penderma bagi memastikan bekalan kami mencukupi sepanjang masa terutamanya golongan muda,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :