BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bukan keris Pahang, filem Mat Kilau hilang jati diri?

Pembikin filem tempatan, Syamsul Yusof yang sebelum ini terkenal dengan deretan filem aksi dan seram seperti KL Gangster, Evolusi KL Drift, Khurafat dan Munafik bakal muncul dengan filem epik berjudul Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. Filem ini bakal muncul di panggung wayang seluruh negara bermula pada 23 Jun 2022.

Walau belum ditayangkan, siaran pratonton filem ini di YouTube mendapat pelbagai reaksi penonton tempatan. Ada yang memuji aksi padat yang ditampilkan, ada pula yang melihat aksinya tidak ubah seperti kelincahan genre Wuxia filem-filem Hong Kong. Ia tindak balas normal apabila kita menonton sebarang pratonton filem, tetapi kita tidak mampu untuk mengulas lebih lanjut kerana filem penuhnya belum dapat dinikmati. Klip kurang daripada tiga minit hanya menjadi habuan mata untuk melihat apa yang mahu ditampilkan.

Jati diri

Bermula daripada pratonton ini, muncul kelompok pembela warisan Melayu khususnya kepahlawanan tempatan di Pahang memberikan reaksi terhadap penerbitan filem ini. Pandangan yang merebak di media sosial ini menyifatkan apa yang ditonton sebagai sesuatu yang menyakitkan mata dan dianggap tidak dibikin melalui penyelidikan mendalam. Elemen seperti penggunaan senjata termasuk keris dan busana tidak melambangkan pahlawan Pahang dan dikatakan tidak memiliki jati diri yang diharapkan.

Terdapat beberapa perkara yang wajar diperhalusi sebelum kita memahami apa yang sedang digeserkan di luar sana. Pertama seorang pembikin filem sudah tentu perlu melaksanakan kajian dan rujukan mendalam bagi membentuk latar dan suasana lebih baik untuk sesebuah filem, khususnya apabila filem berkenaan menyentuh tokoh dan peristiwa penting sejarah negeri dan negara. Ungkapan bahawa filem semata-mata fiksyen dan boleh bersikap longgar terhadap fakta wajar diteliti dengan baik kerana ini terkait dengan pemilihan genre dan bentuk filem yang cuba diketengahkan. Visi, niat dan falsafah kepengarahan terhadap karyanya memainkan peranan penting dalam kita melihat perkara ini.

Misalnya Man Laksa oleh Mamat Khalid menampilkan beberapa karakter sebenar yang membuat persembahan di Malam Amal Kampung Talang, namun dalam filem ini Mamat memilih visi sebuah realisme magis dan parodi, maka apa yang diusahakan beliau ini senang diterima khalayak tanpa memberikan perhatian kepada perincian yang dibawakan Mamat.

Begitu juga halnya yang kita lihat dalam filem Woody Allen, Midnight in Paris yang turut mempunyai persamaan dengan Man Laksa apabila memunculkan watak-watak seniman sebenar termasuk Picasso, Dali, Hemingway dan Fitzgerald.

Rujuk pakar

Namun dalam filem-filem bersifat epik dan menyentuh sejarah secara serius maka aspek asas seperti busana dan peralatan sentiasa diberikan perhatian, walaupun ia tidaklah sepenuhnya terperinci dan lengkap, namun pembikin filem untuk jenis seperti ini tidak mengambil mudah terhadap hal-hal ini. Misalnya senjata api yang digunakan dalam Saving Private Ryan, sehinggakan bunyi yang keluar daripada senjata itu juga diberikan perhatian. Walaupun begitu, tetap ada kepincangan kecil yang dikesan, misalnya penggunaan kereta kebal tidak tepat.

Ridley Scott ketika membikin Gladiator juga tidak memandang ringan aspek sejarah ini. Beliau melantik beberapa pakar rujuk untuk menyudahkan filem ini. Namun atas pertimbangan kreativiti, beliau juga membuat pengolahan pada watak dan penceritaan untuk mendatangkan kesan lebih baik terhadap penonton. Sehubungan itu terdapat beberapa fakta yang diubah untuk memenuhi pertimbangan kreativiti dan menyuntik elemen fiksyen bersesuaian. Malah busana yang digunakan dalam filem ini juga mendapat perhatian serius kerana disifatkan ada yang tidak menuruti zaman asal bagi filem Gladiator.

Justeru, apa yang berlaku kepada filem Mat Kilau bukan sesuatu yang pelik kerana beliau membikin filem berasaskan peristiwa sejarah dan tokoh penting. Apa yang dijelmakan pengarah mungkin visi dan ilhamnya dalam menilai perjuangan Mat Kilau. Sebagai seorang pembikin filem, keterbukaan dalam menerima pandangan adalah penting kerana apabila sesebuah karya itu sudah dipamerkan maka ia sudah menjadi milik khalayak dan ‘si pengarang telah mati’.

Sebagai penonton pula, adalah tidak wajar untuk kita memberikan ulasan berlebih-lebihan hanya semata-mata berpandukan kepada klip pratonton tidak sampai tiga minit. Tanggungjawab peminat filem ialah menonton filem yang penuh dan kemudian barulah pendapat yang dikeluarkan adalah lebih wajar dan sesuai.

Perbincangan yang rancak tentang sesebuah filem wajar diraikan. Polemik ini membuktikan bahawa sesebuah filem dan seniman itu adalah relevan. Jadi Syamsul adalah pembikin filem popular/komersial yang relevan untuk diperkatakan dan penonton selesai menonton jangan ragu-ragu untuk memberikan pertimbangan mengikut mata dan rasa terhadap apa yang dilihat di layar.


Pengarang :