Kuartet 4×100 meter lelaki negara meraih pingat perak serta memecahkan rekod kebangsaan di Sukan SEA ke-31, Hanoi, Vietnam pada 16 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Cabaran Sukan SEA 2023, skuad olahraga sasar 10 emas

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Sasaran berani dan mengujakan 10 pingat emas di Sukan SEA 2023 di Kemboja diterima sebagai satu cabaran, kata Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan Manshahar Abdul Jalil.

Beliau berkata ia adalah pencapaian yang sepatutnya diraih skuad olahraga negara.

Manshahar berkata barisan kejurulatihan yang sudah dimaklumkan lebih awal mengenai sasaran itu dan telah berbincang mengenainya, akan berusaha merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya rasa ia bukan satu yang negatif, kami (barisan jurulatih) terimanya sebagai satu yang positif supaya kita bergerak ke hadapan dan bekerja keras untuk lebih bersedia, dengan perancangan lebih sistematik serta apa sahaja (diperlukan),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Berdasarkan perancangan peringkat awal, Manshahar berkata lima atau enam emas disasarkan dalam acara padang sementara acara trek berpotensi menjelmakan empat atau lima emas.

Katanya barisan kejurulatihan juga telah mengenal pasti senarai atlet yang berupaya menjadi sandaran emas di Kemboja, selain mereka yang mampu mencipta kejutan berdasarkan rekod terkini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam meletakkan sasaran 10 pingat emas buat skuad olahraga negara di Sukan SEA 2023, yang dijadual berlangsung pertengahan tahun depan, demikian menurut laporan media tempatan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan yakin matlamat itu mampu dicapai, berdasarkan potensi atlet negara yang ada ketika ini.

Sebagai rekod, lapan pingat emas adalah jumlah terbanyak berjaya dituai skuad olahraga negara dalam 10 penganjuran terakhir Sukan SEA, yang dilakukan pada edisi 2003, 2005 dan 2017 sementara dalam dua edisi terakhir iaitu pada 2019 dan 2022, sebanyak lima emas dibawa pulang.

Lima emas dikutip skuad olahraga negara di temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, bulan lepas disumbangkan atlet baling tukul besi lelaki Jackie Wong, Andre Anura Anuar (lompat kijang lelaki), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki), Grace Wong (baling tukul besi wanita) dan Nor Sarah Adi dalam acara lompat bergalah wanita.

Dalam pada itu, Manshahar berkata penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur September ini, adalah penting dalam memastikan sasaran 10 pingat emas di Kemboja mampu dicapai.

“Di Sukma kita akan melihat atlet remaja terbaik yang boleh diserapkan dalam pasukan olahraga, gabungan antara atlet senior dan junior pun saya rasa penting juga,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :