Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cegah penyakit tiada gejala dari awal, masyarakat disaran saring kesihatan

SHAH ALAM, 1 JUN: Pakar kesihatan menyarankan orang ramai melakukan saringan kesihatan kerana terdapat beberapa penyakit tidak mempunyai gejala sekali gus menjadi lebih teruk jika tidak dikesan lebih awal.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya Dr Rafidah Abdullah berkata perkara itu perlu dipandang serius kerana dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan berlaku peningkatan kes penyakit tertentu.

“Buah pinggang adalah pembunuh senyap dan ia tiada gejala hingga terlambat. Statistik di Malaysia meningkat iaitu 15.5 peratus daripada masyarakat mempunyai penyakit ini berbanding sembilan peratus sekitar empat tahun lalu.

“Statistik pada 2019 juga sangat teruk di mana satu dalam lima ada kencing manis dengan 50 peratus tak tahu ada penyakit ini. Tiga dalam 10 ada darah tinggi, empat dalam 10 ada kolesterol tinggi dan satu daripada dua mempunyai berat badan berlebihan.

“Kalau kita tak tahu, tak periksa bagaimana kita nak tahu ada penyakit kerana penyakit-penyakit ini tiada gejala sampai ia menjadi teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara Selangor Saring: Saya Sihat Kenapa Perlu Buat Saringan Kesihatan yang disiarkan di Media Selangor, malam tadi.

Ditanya mengenai kebimbangan orang ramai selepas melakukan saringan, Rafidah berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dan adalah lebih baik mengetahui ada penyakit berbanding tidak tahu.

“Tahu dari awal adalah lebih baik kerana ada rawatan, sebagai contoh statistik buah pinggang tadi kalau tahu dari awal ada caranya sama dari kita diam buat senyap dan bila teruk tidak dapat putar balik.

“Statistik tadi untuk 18 tahun ke atas tetapi ada juga statistik di mana untuk dialisis bawah 18 tahun ada 1,000 orang pada tahap lima dan yang menjalani dialisis bawah 45 tahun hanya satu pertiga. Kita dapat lihat orang muda tidak terkecuali,” katanya.


Pengarang :