BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari ahli farmasi ke wakil rakyat, ADN Morib mudah dekati rakyat

Pengalaman sebagai peniaga dan ahli farmasi sejak 1993 memberi kelebihan buat Hasnul Baharuddin mengenali rapat penduduk kampung terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib. Namun, minat terhadap politik sejak zaman universiti menjadikan anak jati pekan Banting itu berjinak-jinak dalam bidang berkenaan hingga terpilih sebagai wakil rakyat pada 2013. Wartawan Norrasyidah Arshad menemu bual pemimpin yang juga timbalan speaker Dewan Negeri Selangor bagi mengupas lanjut matlamatnya dalam memastikan DUN Morib terus membangun.

Boleh cerita latar belakang sebelum bergelar wakil rakyat?

Saya anak jati Morib. Bapa bekerja sebagai guru dan ibu pula peniaga. Saya anak sulung dari tiga beradik yang semuanya lelaki. Saya adalah alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pelajar ke peringkat matrikulasi dan lepasan Universiti Sains Malaysia dalam bidang farmasi. Sebelum masuk politik, saya mendapat pengalaman kerja sebagai ahli farmasi di Hospital Pulau Pinang dan farmasi swasta. Pada 1993, saya pulang ke Banting dan membuka farmasi sendiri. Sebelum ini, saya pernah kendalikan tiga farmasi tetapi disebabkan kos tinggi untuk membayar gaji ahli farmasi, dua daripadanya terpaksa ditutup. Sekarang farmasi saya diuruskan anak.

Kerjaya dahulu memudahkan YB dikenali ramai. Adakah ia satu kelebihan?

Hasnul menghulurkan sumbangan kewangan kepada Surau An Nur Taman Seri Desa pada 20 Jun

Sejak membuka perniagaan di Banting, memang saya terima ramai pelanggan. Ramai yang memang jadi pelanggan tetap. Apabila kita sudah kenal pelanggan, kita dapati mereka ini dalam kalangan penduduk kampung yang berpendapatan rendah. Ramai yang tidak mampu untuk membeli ubat tetapi memerlukannya. Jadi dari dulu memang harga ubat di farmasi saya dijual lebih rendah daripada harga pasaran. Saya bukan hanya mahu untung tetapi ingin membantu penduduk hidup dengan sihat. Kita buat CSR (tanggungjawab sosial korporat) untuk meringankan beban penduduk. Mereka bukan orang senang, jadi saya jual ubat dengan harga rendah.

Daripada ahli farmasi bertukar kepada wakil rakyat, bagaimana boleh terlibat dalam politik?

Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 menjadi titik tolak langkah saya masuk politik. Sebenarnya, saya cakna politik sejak zaman universiti lagi tetapi ketika itu masa banyak habis dengan belajar. Selepas itu, saya berniaga. Apabila lonjakan reformasi berlaku pada 1998, saya mula aktif. Saya sertai Pas dan menjadi penyelaras Dewan Undangan Negeri pada 2008. Pada 2013, saya diberi mandat bertanding pilihan raya umum ke-13 dan terus kekalkan kerusi untuk 2018 hingga kini.

Menjadi wakil rakyat untuk dua penggal, apakah tarikan di Morib?

Di sini kawasan pinggir bandar dan Morib kebanyakan bekerja sendiri. Contoh, mereka ada ladang sawit. Penjawat awam, kakitangan swasta, peniaga kecil pun ada. Aktiviti pelancongan juga ada tetapi tidak besar. Ada Pantai Morib dan Pantai Kelanang serta ekopelancongan. Walaupun kecil, tetapi itu tarikan seperti perniagaan kerepek. Kerepek Morib antara produk popular di Kuala Langat. Peniaga di Kanchong Darat terkenal dengan perniagaan ini. Pantai Morib pula terkenal, antara tumpuan walaupun kemudahan di situ tidak berapa menyerlah. Tetapi selepas Covid-19, lepas perintah kawalan pergerakan (PKP) memang meriah terutama cuti umum, hari minggu. Apabila ramai datang, Pekan Banting yang jaraknya 10 kilometer dari pantai juga sesak sekali gus membantu ekonomi penduduk. Jadi, potensi pantai ini memang baik. Kita juga ada padang golf lapan lubang. Jadi, padang ini akan dinaik taraf dengan tambah 10 lagi lubang. Padang ini usahasama anak syarikat Kerajaan Negeri dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad dan masih dirancang untuk jadikan lebih baik. Padang ini bakal menjadi tarikan baharu kerana ia antara yang mencabar sebab faktor geografi, banyak pokok sekelilingnya.

Kebanyakan kampung tradisi di Morib indah, bagaimana pula perkhidmatan inap desa?

Hasnul beramah mesra dengan penduduk yang datang ke Majlis Rumah Terbuka Dun Morib pada 30 Mei

Perniagaan inap desa memang ada terutama dalam kalangan penduduk Kanchong Darat, Morib, Tali Air. Jumlah pun agak banyak. Pernah juga saya cadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk buat pembangunan lebih agresif terutama di Morib dan Kelanang supaya dapat bantu ekonomi penduduk setempat. Di samping kita galakkan penduduk buat inap desa, kita juga sentiasa memberi pandangan kepada majlis (Majlis Perbandaran Kuala Langat) dan bantu mereka naik taraf kemudahan dari semasa ke semasa. Kita pernah cadangkan kepada EXCO pelancongan sebelum ini untuk buat tempat makan berbumbung supaya pengunjung lebih selesa dan jumlah yang datang meningkat. Harap selepas ini tandas pula diperbaiki kerana ada vandalisme. Saya sendiri sentiasa berhubung dengan EXCO pelancongan jika timbul masalah selain salurkan maklumat semasa.

Morib selalu berdepan masalah air pasang. Boleh ulas?

Fenomena ini berlaku setiap bulan cuma ada ketikanya setahun sekali atau dua kali melebihi paras biasa. Kalau yang duduk tepi pantai, dia tahu air kecil, air besar atau air mati. Kita sentiasa bersedia bila dimaklumkan oleh agensi berkaitan. Jadi kita buat persiapan dan sediakan semuanya termasuk pusat pemindahan sementara. Cuma kita bernasib baik sebab fenomena ini tidak libatkan puluhan atau ratusan
mangsa. Hanya jumlah yang sedikit. Kita ada kunci air untuk kurangkan risiko banjir. Cuma kalau air pasang bersekali hujan lebat, maka air dari darat tidak sempat surut menyebabkan kunci air terpaksa ditutup. Macam banjir hujung tahun lalu. Morib juga kena tetapi sebab dekat dengan laut, air surut cepat. Dalam lima hari masalah banjir selesai.

Bagaimana kemudahan internet memandangkan DUN ini agak ke dalam?

Jaringan internet agak baik kerana syarikat telekomunikasi menaik taraf di jalan utama, jadi akses internet agak rancak. Kemudahan internet dan pencawang agak baik. Cuma kawasan ke dalam sedikit, peratusan menurun. Apabila kita masuk dalam, sukar dapat capaian tetapi kalau ada kemudahan 5G lebih baik. Difahamkan Kerajaan Negeri dan persekutuan sedang naik taraf rangkaian internet di kawasan berkenaan (pedalaman). Rungutan juga ada diterima yang tinggal di kawasan pendalaman, bukan hanya berkaitan capaian internet tetapi peranti. Tiada alat teknologi secukupnya. Jadi, masa PKP kita beri mereka peranti seperti komputer riba terutama keluarga berpendapatan rendah (B40). Sudah banyak kita agih, cuma tidak dapat data tepat berapa ramai terima.

Bagaimana pula kemudahan dan keperluan anak muda?

Hasnul menyantuni penduduk yang sakit di Pusat Jagaan Kebajikan Teratak Singgah Norashikin pasa 3 Jun

Ada kemudahan untuk golongan ini cuma perlu dinaik taraf lagi. Padang-padang awam perlu diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan dan majlis pengurusan komuniti kampung. Kita ada banyak padang futsal juga cuma perlu ditambah baik sebab padang lama. Bila kerap guna memang banyak kerosakan. EXCO sukan ada juga beri peruntukan untuk setiap DUN jadi memang membantu.

Berkenaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Berapa ramai penduduk Morib menerima manfaat?

Bantuan Kerajaan Negeri ini sejak 2008 dan ramai sudah terima manfaat. Sekarang ada Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), bantuan pendidikan tinggi, tadika. Anggaran saya 25,000 penduduk terima manfaat ini dari dulu hingga sekarang. Untuk SMUE sahaja seramai 3,800 mendaftar dan setiap bulan kita beri. KISS dalam 400 orang tetapi akan datang ganti insiatif lain mengikut kuota DUN. Kita di pusat khidmat akan bergerak lebih laju untuk memberikan bantuan kepada masyarakat bagi memastikan mereka yang layak menerima manfaat. Dalam tahun ini juga saya ada sertai perjumpaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Dari awal tahun sekolah sudah dilaksanakan jadi dari situ kita dapat kenal pasti siapa layak. Kita tahu keadaan semasa.

Apabila Covid-19 menular, ramai terjejas terutama penduduk pinggir bandar. Berapa banyakkah bakul makanan diagih?

Kita agih memang banyak sebab di sini ramai makan gaji hari. Apabila tidak kerja, mereka tidak bergaji. Pada 2020 ketika Covid-19 menular, anggaran dalam 2,000 bakul makanan diagih dan tahun lepas dalam 1,000. Saya ambil inisiatif hantar sendiri supaya dapat lihat keadaan penerima. Sehingga sekarang kita masih menyediakan bakul makanan sekiranya ada keluarga memerlukan. Semasa mula-mula pandemik melanda, memang ramai juga golongan peniaga terkesan terutama berniaga kecil-kecilan. Mereka juga kita bantu.

Secara keseluruhan, apakah masalah utama di kawasan ini?

Masalah utama ialah perumahan kerana projek di Kuala Langat ini berskala kecil. Sekarang kawasan ini jadi tumpuan kerana dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Di sini penduduk ada tanah sendiri, jadi anak-anak bina rumah di tanah pusaka. Banyak juga yang buat rumah sewa, jadi daripada segi pembangunan perumahan sendiri banyak. Apabila rancak pembangunan sendiri, pemaju bina rumah dengan harga tinggi. Siapa hendak beli? Jadi kita suarakan kepada Dato’ Menteri Besar untuk bina rumah Selangorku, rumah mampu milik. Alhamdulillah dapat maklum balas yang baik dan tanah milik anak syarikat Kerajaan Negeri pun sudah dikenal pasti. Nanti kita akan bina projek perumahan bawah RM250,000.

Pilihan raya umum dijangka semakin hampir, adakah YB bertanding?

Bergantung kepada keputusan parti, saya sendiri tidak boleh pastikan. Apa pun sehingga habis penggal, saya akan terus bekerja keras untuk pastikan Pakatan Harapan dapat terus mentadbir Selangor dan berusaha untuk kita menang di persekutuan. Walaupun agak berat tetapi kita ada peluang sebab sebelum ini pun kita sudah buktikan.


Pengarang :