Aksi pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong ketika menentang pemain England Johnnie Torjussen pada kejohanan Piala Thomas di Impact Arena, Bangkok pada 9 Mei 2022. Tze Yong menang dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-11. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Dipilih pengganti Zii Jia di Sukan Komanwel, Tze Yong azam cipta kejutan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Pemain perseorangan lelaki muda negara Ng Tze Yong menyifatkan peluang membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, sebagai pentas terbaik membuktikan kemampuannya.

Tze Yong yang berada di ranking ke-48 dunia dipilih menggantikan jaguh perseorangan lelaki Lee Zii Jia yang menarik diri daripada temasya berkenaan bagi menumpukan kejohanan dunia yang berlangsung dua minggu selepas tamat Sukan Komanwel, lapor portal Berita Harian.

Pemain berumur 22 tahun itu tetap memasang impian menyumbang pingat meskipun sedar memikul tanggungjawab besar apabila dijangka menentang pemain utama dunia seperti  Lakshya Sen dari India  dan Loh Kean Yew (Singapura).

“Sudah pasti ini tanggungjawab yang besar untuk saya tetapi dengan bimbingan daripada jurulatih, saya akan membuat persiapan yang terbaik untuk Sukan Komanwel kali ini.

“Saya tidak mahu fikir terlalu banyak sebaliknya mahu buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih yang memilih saya bagi beraksi di temasya ini,” katanya.

Tze Yong, berkata dengan status sebagai bukan pilihan, dia berharap ia akan membawa tuah buat dirinya untuk memburu pingat di Birmingham.

“Saya selesa dengan status sebagai pemain bukan pilihan, tiada tekanan untuk saya. Saya harap boleh menyumbang pingat kepada kontinjen negara tidak kiralah apa warna sekalipun,” katanya.

Sebelum aksi di Birmingham, Tze Yong dijadual beraksi di Masters Malaysia yang berlangsung pada 5 hingga 10 Julai dan Terbuka Singapura (12 hingga 17 Julai) dengan kedua-dua kejohanan menyaksikan dia bermula di pusingan kelayakan.


Pengarang :