Pegawai Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad bercakap kepada Selangorkini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Bergerak di Pusat Khidmat Rakyat Batang kali, Hulu Selangor pada 7 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Batang Kali belanja RM60,000 baik pulih projek kecil infrastruktur

SHAH ALAM, 17 JUN: Sebanyak RM60,000 dibelanjakan bagi membaik pulih projek kecil infrastruktur sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali setakat ini.

Pegawai Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata kebanyakan kerja pembaikan membabitkan bumbung rumah penduduk yang rosak akibat banjir dan ribut.

“Hulu Selangor sering dilanda bencana sedemikian sehingga menjejaskan kediaman penduduk. Jadi, kita bantu sama ada dalam bentuk tunai atau melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja berkaitan.

“Kita segera menyelesaikan sebarang kerosakan kecil yang menelan kos munasabah demi keselesaan penduduk,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan peruntukan disediakan Kerajaan Selangor bagi projek kecil di DUN terbabit berbaki lebih RM100,000 dan akan digunakan sepenuhnya mengikut permohonan.

“Semalam perbincangan diadakan bersama penghulu dan ketua kampung bagi meneliti apa lagi projek yang boleh dilaksanakan di kawasan masing-masing misalnya baik pulih taman permainan, balai raya serta longkang.

“Kalau boleh kita mahu segera habiskan (peruntukan) untuk kebaikan rakyat, sebab itu kita minta pihak berkenaan sediakan kertas kerja supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Saifuddin menambah pihaknya turut menerima permohonan menaik taraf kemudahan lain seperti jambatan, jalan dan sungai, namun akan dirujuk kepada agensi berkaitan kerana membabitkan kos yang besar.

“Kita akan buat kertas kerja untuk dikemukakan kepada Jabatan Pengairan Sungai dan Jabatan Kerja Raya sebelum dipanjangkan ke pejabat Dato’ Menteri Besar. Mungkin boleh dimasukkan dalam bajet tahun ini,” katanya.


Pengarang :