Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bergambar bersama selepas menerima keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18 (1) pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

DUN Batang Kali tawar hadiah pelajar cemerlang SPM, syarat 5A ke atas

SHAH ALAM, 24 JUN: Pusat khidmat rakyat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menawarkan hadiah wang tunai kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pegawai Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata sagu hati itu bagi menghargai kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan minimum 5A dalam peperiksaan terbabit.

“Mereka yang mendapat 5A dan ke atas layak untuk memohon dan mendapat hadiah dengan syarat ibu bapa berdaftar sebagai pengundi DUN Batang Kali.

“Pemohon pula mesti warganegara Malaysia dan bersekolah di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata individu dengan keputusan 5A menerima RM100 diikuti 6A (RM150), 7A (RM200), 8A (RM250) dan 9A ke atas (RM300) dengan permohonan boleh dibuat melalui kod bar di poster sehingga 30 Jun ini.

“Semoga sumbangan kecil ini merintis semangat besar buat mereka yang bertungkus-lumus mengejar kejayaan selama ini,” katanya.


Pengarang :