Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bersama penerima pembiayaan skim Hijrah Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

EXCO: Hijrah salur pembiayaan RM3.42 juta kepada usahawan Kuala Langat

KUALA LANGAT, 25 JUN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM3.42 juta kepada usahawan di daerah ini sejak Januari sehingga semalam.

EXCO pembangunan usahawan berkata dana itu membabitkan tujuh skim ditawar yayasan berkenaan merangkumi i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Menurut Rodziah Ismail, pinjaman tersebut membantu usahawan di Kuala Langat mengembangkan perniagaan masing-masing sekali gus menjana pendapatan.

“Kita dapati 40 peratus daripada usahawan yang memohon pinjaman berkaitan mampu mencecah pendapatan RM100,000 ke atas.

“Ekosistem yang baik disediakan kepada usahawan untuk mendapat pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan. Jadi kita menggalakkan masyarakat untuk berjumpa dengan Hijrah supaya mengambil peluang,” katanya.

Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail ditemu bual media sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas menyerahkan pembiayaan skim Hijrah kepada 20 usahawan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Normaiza Yahya, Rodziah turut menyampaikan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada tiga usahawan.

Beliau juga menyerahkan pelekat cura Platform Selangor (Plats) kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November tahun lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM120 juta untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.


Pengarang :