Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temu duga dalam program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Karnival kerjaya dianjur lagi, tawar lebih banyak pilihan kerja

SHAH ALAM, 27 JUN: Karnival Kerjaya Mega 2022 diadakan sekali lagi pada Ogos atau September tahun ini selepas menerima sambutan menggalakkan, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai supaya lebih ramai majikan dan peserta dapat menyertai program tersebut.

“Perancangan dibuat susulan sambutan memberangsangkan pada program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) awal bulan ini.

“Untuk kali ini kita libatkan ramai lagi majikan dalam pelbagai sektor. Jadi peserta mempunyai banyak pilihan,” katanya kepada SelangorKini.

Karnival kerjaya  pada 11 dan 12 Jun lalu disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri yang menawarkan lebih 20,000 peluang kerjaya.

Antara syarikat turut serta adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

Pada 12 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyasarkan kadar pengangguran bawah tiga peratus tahun ini, seperti yang dicapai pada suku keempat 2021.


Pengarang :