EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bersama Timbalan Pengarah KPDNHEP Selangor Khairi Jamaluddin (kiri) menjadi panel forum bertajuk ‘Perkongsian Dasar Pengguna dan Industri Halal Selangor’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 4 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Negeri cadang wujud pelabuhan antarabangsa khusus kendali produk halal

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan pelabuhan halal yang berfungsi mengendalikan produk halal dalam tempoh lima tahun mendatang.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perancangan berkenaan terkandung dalam pelan utama Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac).

“Ia bukan sekadar mengurus produk halal malah termasuk sistem kewangan yang patuh syariah untuk beri kemudahan kepada pengimport dan pengeksport bagi menjalankan aktiviti ekonomi yang bersifat halal.

“Dalam tempoh empat ke lima tahun ini ada dua tempat dalam dunia yang mewujudkan pelabuhan halal iaitu Rotterdam, Belanda dan Dubai, UAE,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum ‘Perkongsian Dasar Pengguna dan Industri Halal Selangor’ di Pavilion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata pihaknya akan belajar dari kedua-dua negara itu kaedah dan pelaksanaan penubuhan pelabuhan itu nanti.

“Kita telah ke Dubai pada Mac lalu dan terdapat beberapa perbincangan berkaitan asas penubuhan. Kita sasar dalam tempoh lima tahun program ini dapat direalisasikan,” katanya.


Pengarang :