Jemaah menunaikan solat sunat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: SOP solat sunat Aidiladha ikut peraturan sedia ada

KLANG, 21 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) solat sunat Aidiladha di masjid, surau dan musala di negeri ini sama seperti pelaksanaan solat Jumaat dan lima waktu, kata EXCO agama.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peralihan negara ke fasa endemik serta kes Covid-19 yang semakin berkurang.

“SOP bagi solat sunat Aidiladha adalah sama seperti solat Jumaat dan solat lima waktu, tiada sebarang penambahan. Jika ada perubahan, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Namun, jemaah masih perlu menjaga diri dan dinasihatkan kekal memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri ketika menunaikan solat sunat hari raya nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan kewangan kepada pelajar yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Zawawi turut menjelaskan bagi aktiviti korban pula umat Islam dibenar melaksanakan ibadah itu pada tahun ini seperti sedia kala dengan syarat perlu di kawasan lapang, sama ada masjid atau padang.
“SOP baru ini sudah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj iaitu ibadah korban boleh dilaksanakan di mana-mana premis lapang berbanding sebelum ini di masjid sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Pengarang :