Foto Facebook MAT KILAU THE MOVIE
AGENDANASIONAL

Filem Mat Kilau catat kutipan RM1 juta hari pertama tayangan

SHAH ALAM, 24 JUN: Mat Kilau menjadi filem epik tempatan pertama apabila mencipta sejarah mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan semalam.

Pengarahnya Syamsul Yusof, 38, berkata kejayaan awal filem terbitan Studio Kembara itu hasil  kerja keras semua pelakon dan pasukan penerbitan sepanjang proses penggambaran, lapor Harian Metro.

“Saya sebagai pengarah bersama pelakon dan pasukan penerbitan dengan rasa rendah diri, sangat bersyukur dengan pencapaian yang amat membanggakan ini.

“Dengan ini Mat Kilau menjadi filem epik Melayu pertama kutipan tertinggi dalam sejarah bagi filem epik. Jadi tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Syukur alhamdulillah. Rezeki daripada Allah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejayaan filem Mat Kilau yang memecahkan rekod pembukaan hari pertama dengan mengetepikan filem Hollywood lain yang sedang ditayangkan di Malaysia menggambarkan pengkarya tempatan mampu bersaing.

Namun, beliau mengakui tidak meletak sebarang sasaran dari segi kutipan sebaliknya mahu menghasilkan karya yang menepati cita rasa penonton melalui usaha teliti dan bersungguh-sungguh sebagaimana  filemnya terdahulu antaranya Munafik 1, Munafik 2 dan KL Gangster.


Pengarang :