Sukarelawan menyemak butiran mangsa banjir sebelum mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hampir 1,000 mangsa banjir di Klang belum ambil bantuan, alamat tidak lengkap

SHAH ALAM, 30 JUN: Alamat penerima yang tidak lengkap dan nombor telefon kurang tepat dikenal pasti punca agihan Bantuan Selangor Bangkit gagal diserahkan kepada penerima.

Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin berkata masalah itu dikesan ketika pegawai Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang mengunjungi alamat yang ditulis dalam borang permohonan.

“Kita ada pergi mencari penerima sebelum 30 April, namun gagal menemukan mereka kerana alamat tidak lengkap dan nombor telefon tidak tepat menyebabkan kita gagal mengesan mereka.

“Bagaimanapun, ada penerima yang kita temui tiada di rumah dan wang bantuan diserahkan kepada wakil. Secara keseluruhan, kurang daripada 1,000 penerima tidak mengambil bantuan,” katanya kepada Selangorkini.

Katanya, setakat ini hampir 66,000 penerima sudah menerima bantuan itu sejak Disember tahun lalu.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) V Ganabatirau memaklumkan ratusan mangsa banjir masih belum menuntut bantuan RM1,000 walaupun layak menerima manfaat tersebut.

Beliau berkata, kesemua permohonan mangsa sudah selesai diproses tetapi penerima tidak hadir untuk mengambil bantuan, selain gagal dihubungi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta sebagai dana program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu turut membabitkan bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.


Pengarang :