Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sharipah Marhaini Syed Ali (lima dari kiri) ketika melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya Tahun 2022 dan aplikasi MBPJ eRebat hari ini. Foto MBPJ
BERITA UTAMASELANGOR

Hampir 2,000 penduduk sokong inisiatif hijau MBPJ nikmati rebat cukai taksiran

PETALING JAYA, 3 JUN: Seramai 1,978 penduduk Petaling Jaya yang mengamalkan inisiatif hijau menerima rebat cukai taksiran berjumlah RM652,068.17.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sharipah Marhaini Syed Ali berkata rebat itu hanya ditawarkan kepada pemilik rumah yang menjalankan inisiatif mesra alam.

Menurutnya, antaranya mengamalkan penjimatan tenaga elektrik dan air, pengurusan sampah yang baik, menggunakan pengangkutan awam serta menanam pokok di sekitar kediaman.

“Skim rebat cukai taksiran antara program terpenting di bawah ‘Thematic Low Carbon City MBPJ’ dan ia dilaksanakan sejak Julai 2011. Sepanjang tempoh 12 tahun kita telah menerima 2,193 permohonan.

“Ia juga bertujuan menghargai penduduk Petaling Jaya yang mengamalkan gaya hidup mesra alam sekali gus membantu menjadikan bandar raya ini hijau dan berkarbon rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya Tahun 2022 dan Aplikasi MBPJ eRebat di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Sharipah Marhaini berkata permohonan yang layak akan menerima rebat sebanyak maksimum 100 peratus atau RM500 yang akan dikreditkan ke dalam akaun cukai taksiran pemilik rumah.

Jelasnya, tahun lalu sebanyak 31 daripada 222 pemohon layak menerima rebat 100 peratus dan ia membuktikan penduduk Petaling Jaya sentiasa menyokong gaya hidup mampan dilaksanakan MBPJ.

“Tahun ini penduduk boleh memohon secara dalam talian melalui aplikasi MBPJ eRebat yang boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple Store mulai 3 Jun hingga 31 Ogos 2022,” katanya.

Aplikasi itu dibangunkan hasil usahasama MBPJ serta Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui program Green Technology Application for Low Carbon Cities dengan peruntukan RM150,000.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi urusetia Sekretariat Pasukan Petugas Low Carbon Green City of Petaling Jaya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440.


Pengarang :