EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau keadaan asrama pelajar lelaki selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan kepada 43 pelajar yang terlibat dalam kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, Klang pada 21 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Harap baik pulih asrama disegera, pelajar bersyukur Negeri beri bantuan

KLANG, 22 JUN: Pengurusan Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih di sini berharap kerja baik pulih sebahagian asrama yang terbakar April lalu dapat disegerakan.

Pengetuanya Mohamad Rahman Sulaiman berkata pembaikan itu bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelajar yang kini terpaksa menumpang di asrama Institut Murabbi Antarabangsa Negeri Selangor.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sudi membantu baik pulih kerosakan asrama akibat kebakaran tempoh hari. Pihak pengurusan sekolah ini menghargai inisiatif tersebut.

“Kita yakin jika asrama ini siap dibaik pulih pelajar tidak perlu lagi berulang alik selain aktiviti pembelajaran mereka sudah pasti berjalan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas serahan sumbangan kewangan oleh EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada kepada 43 pelajar yang terlibat dalam kebakaran berkenaan semalam.

Muhammad Amirul Fathi Dzulhazmi

Salah seorang pelajar yang juga mangsa kebakaran, Muhammad Amirul Fathi Dzulhazmi, 17, berkongsi pengalaman berkata tragedi itu benar-benar di luar jangkaan tetapi bersyukur tiada kemalangan nyawa.

“Walaupun semua peralatan dan pakaian kami semua habis musnah dijilat api tetapi tetap bersyukur tiada kematian atau sebarang kecederaan berlaku pada malam itu,” katanya.

Muhammad Haikal Sharom

Manakala, Muhammad Haikal Sharom, 17, turut berkongsi pandangan sama selain berterima kasih kepada Kerajaan Selangor atas bantuan yang diberikan.

“Insya-Allah bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membeli kelengkapan belajar. Terima kasih kepada pihak yang membantu dan prihatin dengan nasib melanda kami,” katanya.

Pada 24 April, sekitar jam 9.30 malam tingkat tiga asrama lelaki di SAM Sultan Hisamuddin terbakar sehingga memusnahkan 70 peratus asrama itu.

Difahamkan, ketika kebakaran semua pelajar terbabit sedang menunaikan solat tarawih di surau.


Pengarang :