Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Jualan Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak parkir Masjid Al-Bakri Kampung Bukit Naga, Shah Alam pada 18 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Harga barang keperluan dalam program jualan PKPS masih rendah, berpatutan

SHAH ALAM, 19 JUN: Harga ditawarkan di program jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) masih rendah berbanding di pasaran, kata pengurus besar pemasarannya.

Rosnani Abd Malek berkata walaupun harga barangan dijual tidak murah seperti sebelum ini tetapi masih bermanfaat kepada pengunjung yang datang membeli keperluan asas.

“Contohnya telur ayam gred B, harga pasaran lebih RM12 tetapi kita jual RM11.80. Begitu juga ayam, harga di pasaran RM20, namun menerusi program jualan hanya RM15.

Pengurus Besar Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Rosnani Abd Malek. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Oleh demikian, masyarakat disaran tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan keperluan harian dengan tawaran harga murah,” katanya ditemui pada Jelajah Jualan Ehsan di tapak parkir Masjid Al-Bakri Kampung Bukit Naga di sini semalam.

Sementara itu, Biro Ekonomi Kampung Bukit Naga, Naharudin Mohd Aman, 53, berkata program jualan tersebut bermanfaat dalam membantu rakyat mengurangkan kos keperluan harian.

“Saya berharap wakil rakyat di setiap lokasi jualan dapat menguar-uarkan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Peniaga Samsul Alias, 45, berkata program jualan anjuran PKPS membantu mengurangkan kos membeli barangan keperluan harian.

Samsul Alias. Foto FIKRI YUSOF/SELANGPRKINI

“Saya beli ikan, ayam, telur dan sayuran dengan harga kurang RM50. Jika di pasar raya luar, mungkin harganya lebih daripada jumlah tersebut,” jelasnya.

Suri rumah, Jemaah Mohamed, 67, memaklumkan beliau balik daripada kuliah pagi dan melihat ada jualan murah.

“Saya dan kawan-kawan terus datang untuk beli keperluan seperti telur ayam dan sayuran. Harga berpatutan dan lokasi strategik memudahkan kami membeli barang,” katanya.


Pengarang :