Ruam merah pada tapak kaki dan tangan antara tanda-tanda jangkitan tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada kanak-kanak. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HFMD: Jangkitan naik 28 kali ganda, catat 71,471 kes setakat Mei

SHAH ALAM, 1 JUN: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kian menular dalam kalangan kanak-kanak apabila merekodkan 71,471 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Mei.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan jumlah jangkitan itu meningkat 28 kali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jelasnya, sejumlah 65,032 kes atau 91 peratus membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan 5,194 kes atau tujuh peratus dalam kumpulan tujuh hingga 12 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN

“Manakala daripada 1,573 wabak dilaporkan, 956 wabak atau 61 peratus berlaku di taska, tadika,
prasekolah dan 548 wabak berlaku di rumah persendirian,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas sesi mesyuarat pendengaran awam (THM) HFMD peringkat Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata sebanyak 187 sesi mesyuarat diadakan di seluruh negara setakat ini bagi mengurangkan penularan kes tersebut khasnya di taska dan sealiran dengannya.

“Penganjuran THM menggabungkan aktiviti pendidikan kesihatan kepada peserta agar tindakan dapat diambil apabila pulang ke taska masing-masing,” katanya.


Pengarang :