BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hidupan berevolusi akibat tekanan sekeliling, teori Darwin perjelas mekanisme

Oleh Zamir Mohyedin

Baru-baru ini ada persoalan diutarakan iaitu mengapa beruang panda tidak berevolusi supaya dapat beradaptasi dengan ancaman kepupusan?

Soalan ini menarik kerana ramai orang berfahaman haiwan bermutasi apabila berhadapan dengan tekanan persekitaran (environmental pressure) baik daripada alam atau manusia. Mutasi itu pula telah menyebabkan haiwan berevolusi untuk beradaptasi dengan tekanan tersebut.

Tetapi sebenarnya mutasi tidak terjadi disebabkan tekanan persekitaran. Mutasi berlaku secara rawak dan ia tidak ditentukan sama ada spesies tersebut mendapat manfaat ataupun tidak daripada mutasi tersebut.

Jika mutasi tersebut memberikan manfaat untuk spesies berhadapan dengan ancaman, ia akan berevolusi. Sebaliknya, ia akan pupus. Kita juga perlu tahu bahawa evolusi tidak merujuk pada individu, tetapi pada kelompok spesies yang sama.

Misalnya, ketika di Manchester pada kurun ke-19 dahulu, terdapat sekelompok rama-rama berwarna putih yang suka hinggap di pokok. Dalam kelompok rama-rama ini, terdapat sebilangan kecilnya berwarna hitam – akibat daripada mutasi. Pada masa itu, rama-rama hitam sering diancam oleh burung pemangsa kerana warnanya menonjol. Dahan pokok cerah warnanya, rama-rama hitam pula kontra dengan warna dahan dan senang dilihat oleh burung pemangsa. Kejadian ini menyebabkan rama-rama hitam sulit untuk membiak dengan banyak berbanding rama-rama putih.

Kesan revolusi industri

Ketika tercetusnya Revolusi Industri Pertama, asap-asap kilang telah menyebabkan pokok-pokok di Manchester menjadi hitam dan berjelaga. Persekitaran ini telah menyebabkan rama-rama putih terancam kerana warnanya pula yang menonjol. Lama kelamaan, bilangan rama-rama putih semakin sedikit kerana sulit untuk membiak. Jumlah rama-rama hitam pula semakin meningkat.

Kejadian inilah yang kita panggil rama-rama putih berevolusi menjadi rama-rama hitam melalui pemilihan alamiah (natural selection) kerana dalam kelompok rama-rama itu, warna putih sedikit, mungkin pupus tetapi rama-rama hitam mendominasi. Pemilihan alamiah pula merujuk pada mekanisme evolusi. Dengan kata lain, persekitaran yang didiami oleh suatu spesies menentukan haiwan mana yang boleh membiak dan melangsungkan hidup dan haiwan mana yang akan pupus. Pemilihan alamiah dapat dianalogikan sebagai penapis – haiwan yang mempunyai mutasi untuk beradaptasi tidak akan ditapis oleh tekanan persekitaran.

Charles Darwin

Jika dalam kelompok rama-rama itu tiada sedikit pun rama-rama yang mempunyai mutasi kehitaman, spesies rama-rama itu mungkin pupus kerana mereka tiada mutasi untuk beradaptasi dengan persekitaran baharu.

Mengapa panda tidak berevolusi apabila terancam? Panda menjadi terancam kerana habitatnya dimusnahkan oleh manusia. Umumnya, manusia ialah ancaman panda. Panda di seluruh dunia tidak mempunyai mutasi yang membolehkan mereka dapat beradaptasi dengan kehadiran manusia.

Sindrom penjinakan

Misalnya mutasi sindrom penjinakan seperti yang ada pada kucing, anjing, babi, lembu, dan sebagainya. Anjing berevolusi daripada sebahagian kelompok serigala yang mempunyai mutasi sindrom penjinakan. Mutasi ini menyebabkan haiwan-haiwan ini fleksibel dengan perubahan gaya hidup manusia.

Kalau lihat contoh lain pula seperti gajah. Populasi gajah menurun sebab gadingnya diburu untuk dijual dengan harga tinggi. Tetapi terdapat sebahagian kecil gajah bermutasi untuk tidak lagi bergading ataupun gadingnya menjadi semakin pendek. Hal ini menyebabkan gajah-gajah ini tidak menarik minat pemburu untuk diburu. Seterusnya bilangan gajah meningkat. Namun, gajah yang meningkat ini bukan lagi gajah bergading yang biasa kita lihat, tetapi gajah yang tidak bergading lagi ataupun gadingnya kecil. Dengan kata lain, gajah telah berevolusi daripada bergading menjadi tidak bergading.

Kesimpulannya, haiwan bukan berevolusi untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan, tetapi keadaan yang menyebabkan mereka berevolusi dan hal itu hanya terjadi apabila mereka mempunyai mutasi untuk beradaptasi dengan keadaan tersebut.

Kemudian, haiwan bukan berevolusi secara individu. Seekor gajah tidak akan akan berevolusi daripada gading panjang menjadi pendek. Evolusi merujuk sekelompok spesies yang sama dan produk evolusi menelan ribuan tahun. Tekanan yang sangat kuat membolehkan evolusi menelan puluhan tahun sahaja. Perbezaan ketara daripada satu spesies haiwan berevolusi menjadi spesies haiwan lain dapat dilihat melalui proses evolusi yang menelan ribuan tahun.

Inilah teori evolusi yang digagaskan oleh Charles Darwin. Teori evolusi telah pun wujud sebelum kehadiran Darwin, tetapi beliau menggagaskan mekanisme bagaimana evolusi boleh berlaku ke atas haiwan iaitu melalui pemilihan alamiah.

*Zamir Mohyedin adalah penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara. Beliau seorang ahli fizik yang menulis lapan buku


Pengarang :