BUDAYARENCANA

IC Tiadakala

(sambil mengenang @hnni_f)

Oleh Md. Fariq Khir

@azrullll turunkan aku di Serdang. Di luar stesen keretapi. Tempat tunggu bas. Tunggu teksi. Tempat tunggu Grab. MyCar. AirAsia Ride. Dulu Dacsee. @mindyrbusinesss kata jangan bagitau sesiapa pasal Dacsee. Dia tak nak orang tau. Nanti ramai guna. Ramai orang @mindyrbusinesss tak nak.

Di stesen keretapi. Keretapi Tanah Melayu. Stesen Serdang. IC. Tertinggal. Tercicir di kerusi. Atau bawah kerusi pelantar. Keretapi tiba lagi lima minit waktu aku sedar. Lagi satu jam keretapi yang satu lagi tiba. Aku malas tunggu satu jam lagi. Nak ke kaunter bertanya tak sempat. Keretapi dah nak sampai. Keretapi sampai aku naik. Masuk. Masuk dan duduk. Aku intai beg. Beg jinjing. Aku suka beg macam tu senang nak keluarkan barang. Senang masukkan barang. Senang keluarkan. Keluar masuk senang. Aku keluarkan kamera. Buku. Bekas kacamata. Bank kuasa. IC tak ada. Baru perasan tak ada pelitup muka. Tak ada sekali dengan IC. Mungkin tertinggal sekali. Orang lain semua ada. Semua pakai. Di pembesar suara ada pengumuman. Sila pakai pelitup muka sepanjang masa. Sial. Yang sialnya aku sorang je tak pakai. Perempuan depan aku dia turunkan pelitup bawah dagu lepas tu. Yang ni tidak sial.

Aku pasang lagu. Atau aku pasang lagu sebelum tu. Bateri nak habis. Bank kuasa ada. Wayar tak ada. Bank kuasa ada bateri. Aku matikan lagu. Atau sebelum tu lagi aku dah matikan. @alifsatar_. Dia tak mati lagi. Aku tak matikan suara dia dalam kepala.

Keretapi tiba di Seputeh. KL Sentral. Aku nak turun di situ. Nak naik elarti di situ. Turun Subang Jaya. Antara Seputeh dan KL Sentral keretapi jadi perlahan. Lambat. Aku nak cepat sampai Subang Jaya. Keretapi sampai KL Sentral. Aku keluar. Tuju tangga. Besi atau batu.

Tak ingat aku naik tangga yang mana satu. Aku naik. Buka dompet. Periksa sekali lagi mengharap keajaiban. Tak ada. Ada staf KTM. Aku dekati. Bang IC saya hilang. Macam mana eh. Kau dari mana. Dari Serdang. Kau masuk jelah. Boleh call ke Serdang. Kalau nak buat repot boleh pergi kaunter. Masuk bilik master. Aku blah. Aku kata terima kasih bang. Dia balas ke tak. Tak pasti.

Aku tak blah ke kaunter. MyNews ramai. newsplus tak ramai. Aku masuk. Aku kata mask ada. Tak ada. Mask habis. MyNews sekarang tak ramai orang. Aku masuk MyNews. Ada pelitup muka siap terbungkus. Aku ambik. Mask ni berapa. Tujuh ringgit. Aku buka dompet. Dua not se mengepit not lima. Ambik. Bagi. Blah. Koyak bungkusan. Pakai. Aku blah ke kaunter kata kak IC hilang nak buat repot macam mana. Dia kata cuba tanya depan tu. Belakang aku ada kaunter. Kaunter terbuka. Kaunter polis bantuan. Aku dekati aku kata IC hilang nak buat repot. Buat repot dekat luar. Turun LG. Ada balai polis. Sana boleh buat. Sini tak boleh buat. Sini tak boleh cetak repot. Sana boleh cetak. Tak nak. Malas. Aku rasa IC aku ada lagi dekat Serdang. Esok aku nak pergi. Nak tanya. Nak ambik kalau ada. Tak ada baru buat repot.

Aku pusing. Jalan. Nak pergi elarti. Jalan dua langkah. Ada perempuan dari belakang. Dia jalan. Aku hampir nak berlanggar dengan dia. Dia hampir nak langgar aku. Dia dari belakang macam kereta keluar simpang tanpa nyahpecutan. Tiba-tiba menyusur keluar. Aku pandang dia. Dia tak pandang aku. Aku sempat pandang muka dia. Huda. Huda ke tu. Ni Huda ke. Macam Huda. Dia dah dekat depan. Dia jalan laju. Aku jalan laju. Dia jalan lagi laju daripada aku. @nasisupremacy pernah kata Huda jalan memang laju. Aku pandang kasut dia. Hitam. Ada putih. Jenama apa. Baju dia hitam. Kot. Aku lupa. Dia pakai trainer hijau pucuk muda. Yang hitam dekat dalam. Tinggi dia sama. Aku kenal ketinggian tu. Mata dia sama. Mata dengan celak yang tajam. Ketajaman mata tu aku kenal. Hidung. Bibir. Tak pasti. Dilindung pelitup yang hitam. Hitam manis Huda kulit dia. Aku rasa tu Huda. Aku ambik kamera. Gelap. Lensa manual. Aku terangkan. Dia dah jauh. Dia dah dalam kawasan gerbang masuk. Aku ketik. Aku ketik. Dia naik. Tengok cara lilit selendang tu. Macam Huda kan. Dia jauh. Aku ke gerbang memeriksa boleh ke tak pakai kad debit. Tak. Aku ke mesin token. Aku tekan laluan Kelana Jaya. Aku cari Subang Jaya. Aku tekan Subang Jaya. Not sepuluh aku masukkan. Keluar balik. Masuk semula. Keluar semula. Not sepuluh dipalang merah. Babi.

Aku terfikir-fikir dia ke pelantar mana. Arah Gombak aku rasa. Rasanya nak turun Pasar Seni. Atau Masjid Jamek. Dari Masjid Jamek ke laluan Sri Petaling. Turun Maluri. Mungkin Cochrane. Rumah pakcik dia dekat situ. Dekat situ ada kedai sup sedap. Kitorang tak pernah pergi sana. Huda tak nak orang tau. Nanti orang ramai. Huda tak nak ramai orang.

Orang kaunter lembab. Orang beratur tak ramai. Masa beratur elarti arah Gombak dah sampai. Orang kaunter pecahkan not sepuluh jadi not se. Aku dengar loceng pintu elarti dah berbunyi. Bunyi elarti pergi. Dengan not se-se aku beli token. Dengan token aku masuk. Aku naik tangga besi ke pelantar arah Gombak. Tak ada. Aku tau dia tak ada aku tetap cari. Aku berjalan sepanjang pelantar. Tak ada dia. Tak ada debaran. Yang ada cuma curiga. Aku tak berdebar sebab ada curiga. Kalau aku tegur mungkin ada debar.

Kenapa aku tak tegur tadi. Takut. Kenapa aku takut. Takut tersilap orang. Takut bila tersilap orang tu takut dengan aku. Mungkin dia tak akan pandang. Orang lain yang pandang. Jadi mungkin aku kena sentuh bahu dia jadi dia sorang je yang pandang. Tapi menyentuh orang aku tak berani. Takut. Nanti kena tuduh gangguan seksual. Tapi macam mana kalau tu memang Huda. Dia tak akan takut kot. Aku tak pasti aku akan takut ke tak. Kalau aku tegur kalau aku panggil nama dia aku akan kata Huda ke ni. Kau Huda ke. Kalau ya mungkin dia akan kata ya. Kalau dia senyap aku akan gerakkan tangan ke muka dia. Buka pelitup muka. Apa kau buat dekat sini. KL Sentral. KL. Kau buat apa dekat KL. Kalau dia memang Huda.

Aku boleh tanya @nasisupremacy dekat Whatsapp. Boleh tanya @lrnami dekat Twitter. Bukan ke tu lebih baik. Tapi aku tak tanya. Bukan ke tu lebih baik.

 

 


Pengarang :