Sebahagian daripada warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen terhadap warga asing di sekitar Pasar Besar Meru, Klang pada 27 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi di kondominium

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Jabatan Imigresen menahan 49 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dokumen perjalanan disyaki palsu dalam operasi di sebuah kondominium di Ampang, di sini tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, seramai 205 warga asing dari Afghanistan, Libya dan India berumur antara enam bulan dan 68 tahun telah diperiksa.

“Operasi malam ini melibatkan seramai 31 orang pegawai Imigresen dan seramai 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak diperiksa melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau berkata kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang berlindung di negara ini susulan konflik di negara mereka.

Menurutnya, kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 61C Akta Imigresen 1963.

– BERNAMA


Pengarang :