Penyelaras Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) Dr Muhammad ‘Adil Zainal Abidin (dua dari kanan) menerangkan fungsi SEHAT kepada EXCO Hal Ehwal Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) pada program Jelajah Selangor Saring di DUN Sekinchan pada 5 Jun 2022.
AGENDANASIONAL

Individu hadapi masalah, tekanan digalak hubungi Talian SEHAT

SHAH ALAM, 22 JUN: Individu yang menghadapi tekanan perasaan digalak mengadu kepada kaunselor profesional menerusi Talian SEHAT yang diwujudkan awal bulan ini.

Penyelaras Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) berkata orang awam yang ingin meluahkan masalah mereka boleh menghubungi talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Menurut Dr Muhammad ‘Adil Zainal Abidin talian itu beroperasi 24 jam dan dikendalikan oleh kaunselor berpengalaman yang dilantik untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Ramai individu sebenarnya menghadapi masalah mental tetapi mereka mengambil mudah dan tidak mahu mendapatkan nasihat atau pandangan pakar mungkin kerana malu.

“Justeru, Kerajaan Selangor mewujudkan talian untuk mereka hubungi sahaja dan bercakap dengan kaunselor tanpa bersemuka, mungkin daripada situ ia sedikit sebanyak boleh membantu,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Muhammad ‘Adil yang merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam menasihatkan mana-mana individu tidak memandang remeh dengan tekanan perasaan kerana khuatir ia akan memudaratkan kesihatan mental pada masa akan datang.

“Selain hubungi talian ini, orang awam juga boleh membuat saringan SEHAT menerusi aplikasi SELangkah bagi menentukan skala tekanan yang dihadapi,” katanya lagi.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :