Orang ramai mendapatkan keperluan harian di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari ketika tinjauan pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Inflasi makanan meningkat 5.2 peratus pada Mei, tertinggi sejak 2011

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 126.6 pada Mei 2022 daripada 123.1 bagi tempoh sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, kenaikan tersebut melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2022 (1.9 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi makanan terus meningkat ke paras baharu pada 5.2 peratus — tertinggi sejak November 2011 dengan 93.0 peratus item dalam kumpulan itu merekodkan kenaikan.

“Daripada item itu, 29.4 peratus naik dalam julat kurang daripada 5 peratus, 37.7 peratus meningkat antara 5-10 peratus manakala 32.9 peratus naik melebihi 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media bersempena Laporan Indeks Harga Pengguna Mei 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada kenaikan inflasi keseluruhan sebanyak 2.8 peratus.

Pengangkutan meningkat 3.9 peratus dan diikuti oleh restoran dan hotel (3.7 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.9 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.9 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus).

Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatat peningkatan 1.2 peratus manakala pendidikan meningkat 1.0 peratus.

Kumpulan minuman alkohol dan tembakau serta kesihatan masing-masing meningkat 0.4 peratus manakala kumpulan komunikasi kekal tidak berubah daripada tempoh sama sebelum ini,kata laporan itu.

Mohd Uzir berkata pada Mei 2022, makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus (April 2022: 4.1 peratus) dan 5.1 peratus (April 2022: 4.4 peratus), mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

“Subkumpulan daging mencatat peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 (April 2022: 6.2 peratus) akibat permintaan tinggi dalam musim perayaan, diikuti oleh kenaikan sayur-sayuran (8.1 peratus); susu, keju san telur (8.0 peratus); ikan dan makanan laut (4.3 peratus) dan minyak dan lemak (3.7 peratus).

“Dalam pada itu, kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk (8.3 peratus), roti canai (7.8 peratus), makanan berasaskan mi (5.7 peratus) dan masakan ayam (5.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kos makanan yang ditambah dengan kenaikan permintaan, menyumbang kepada pertambahan harga ayam pada kali ini.

Menurutnya, ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1 peratus) meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022 manakala purata harga ayam pada Mei 2022.

“Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutama daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan kedaan cuaca,” katanya.

Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula akibat terutamanya oleh kenaikan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 sebanyak 63.8 peratus (RM4.26 seliter) berbanding RM2.60 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak ini adalah kesan langsung daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (65.2 peratus) kepada US$112.37 setong pada Mei 2022.

“Bagaimanapun, pelaksanaan harga subsidi bagi petrol tanpa plumbum RON95 dan diesel telah mengimbangi kenaikan kumpulan itu dengan harga bagi RON95 kekal pada RM2.05 seliter sejak Mac 2021,” katanya.

Mengulas inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.7 peratus).

Menurutnya, Kedah dan Perlis (2.2 peratus), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.2 peratus) serta Melaka (2.1 peratus) merupakan negeri yang mempunyai peningkatan inflasi paling rendah.

“Kesemua negeri mencatat peningkatan ketara bagi inflasi makanan dan minuman bukan alkohol dengan kenaikan tertinggi oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (6.7 peratus) serta diikuti oleh Johor (6.0 peratus), Pulau Pinang (5.8 peratus) dan Perak (5.2 peratus),” katanya.

Beliau berkata, iInflasi bagi kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.9 peratus daripada 123.6 pada Mei 2021 kepada 127.2 pada Mei 2022, disumbangkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol 5.4 peratus yang naik 0.2 mata peratus dan melebihi inflasi makanan di peringkat nasional.

“Peningkatan itu adalah daripada subkumpulan daging (9.4 peratus) dan diikuti oleh susu, keju dan telur (9.0 peratus) dan sayur-sayuran (7.5 peratus),” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :